KUALA LUMPUR: Perlawanan Piala Asean 2024 mungkin agak sendu apabila tiada tayangan secara langsung percuma membabitkan aksi terbabit di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kos untuk tayangan secara langsung membabitkan perlawanan Piala Asean 2024 terlalu tinggi sekali gus tidak mampu untuk RTM menyediakan aksi itu untuk tatapan penyokong bola sepak tanah air.
Beliau berkata, walaupun memahami bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini namun peningkatan kos hampir 10 kali ganda itu menyebabkan RTM terpaksa melupakan inisiatif itu untuk musim 2024.
“Dahulu kita beli satu siaran saja iaitu Piala AFF (Piala Asean) pada hujung 2022. Saya difahamkan pemegang hak siaran Piala AFF tak mahu jual satu saluran saja namun perlu ambil lima saluran sukan.
“Kos terlalu tinggi untuk Piala AFF. Inilah keadaan kita pada waktu ini. Kita tak mampu kerana luar daripada bajet.
“Jika dilihat kembali, kos dahulu beli dalam RM1.7 juta namun sekarang minta dalam RM14 juta untuk lima saluran sukan..terlalu mahal,”katanya ketika ditemui pada Kejohanan Sepak Penalti Piala YB Tuan Ahmad Fahmi Fadzil di Padang Bola Sepak IWK Eco Park, Pantai Dalam, sebentar tadi.
Mengikut rekod, Piala Asean 2024 meyaksikan Malaysia bersaing dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.
Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos. Dua pasukan teratas setiap kumpulan ke separuh akhir.
Terdahulu, RTM menjelaskan stesen televisyen milik kerajaan itu tidak dapat menyiarkan saingan Piala Asean 2024 kerana harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan hak penyiarannya.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, ia berikutan RTM perlu membeli pakej yang mengandungi empat saluran sukan yang tidak diperlukan oleh stesen itu. – HMetro Online –
IMedikel TV






