Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
ALOR GAJAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal mengukuhkan ketangkasan penguatkuasaan melalui strategi ‘omnipresence’ iaitu peningkatan keberadaan jentera penguat kuasa di kawasan lapangan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, agenda tersebut bermula pada Januari tahun depan.
“Strategi ini amat penting untuk memastikan aspek kawalan dan pemantauan diperkasakan termasuk melaksanakan tindakan susulan terhadap setiap aduan dan laporan yang diterima oleh pelbagai pihak.
“Strategi omnipresence ini juga dirangka selaras dengan pelaksanaan KITA GEMPUR yang menggembleng peranan empat komponen pemegang taruh, iaitu (K) agensi Kerajaan, (1) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi Awam dalam Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Justeru, pada masa yang sama pihaknya menjangka bakal berlaku peningkatan jumlah aduan dan laporan bagi menuntut pemerkasaan keberadaan dan tindakan susulan penguatkuasa.
“Pegawai dan anggota penguat kuasa juga perlu ditambah untuk meningkatkan omnipresence atau kehadiran anggota penguat kuasa di pelbagai lokasi secara berterusan bagi memastikan kawalan dan pemantauan yang efektif,” katanya.
IMedikel TV






