KUALA TERENGGANU: Di mana Marin Pilj? Itu persoalan berlegar dalam fikiran peminat setia skuad Terengganu FC (TFC).
Ini susulan tiada kelibatnya dalam senarai pemain pasukan ketika berdepan Melaka FC pada aksi pertama Pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.
Malah tinjauan ketika sesi latihan pasukan sebelum perlawanan juga mendapati pemain kelahiran Croatia itu tidak kelihatan ketika sesi berkenaan.
Ketiadaan pemain yang sudah meledak tiga jaringan dalam 12 penampilan bersama skuad Penyu itu mengundang pelbagai persoalan dan reaksi khususnya dalam kalangan peminat setia skuad itu.
Dalam laman sosial ada yang mendakwa pemain tengah berusia 27 tahun itu sudah meninggalkan bumi Terengganu untuk mengikut jejak ‘sifunya’ yang juga bekas ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatannya pada awal bulan lalu pulang ke negaranya.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, setakat ini pihaknya juga tidak tahu menahu ke mana ‘menghilangnya’ pemain import itu ketika khidmatnya ditagih pasukan dalam mengharungi saingan Piala Malaysia.
“Kami pun tidak tahu status pemain itu setakat ini, kami tahu dia tidak kelihatan ketika sesi latihan pasukan selain aksi pertama menentang Melaka FC pada minggu lalu.
“Ketiadaannya sudah pasti merisaukan kem pasukan kerana skuad itu kini bersaing dalam saingan Piala Malaysia selain bakal berdepan kelab Asean dalam perlawanan ketiga Kejuaraan Kelab Asia Tenggara awal tahun depan.
“Jadi kami penyokong mengharapkan pihak pengurusan TFC dapat memaklumkan seberapa segera status terkini pemain itu sama ada masih bersama pasukan ataupun sudah ‘kemas beg’?
“Hal ini bagi mengelak persepsi yang kurang enak didengar dalam kalangan peminat jika pihak pengurusan masih ‘membisu’ berhubung perkara itu kerana kami sayangkan pasukan,” ujarnya ketika dihubungi.
Terdahulu pada bulan lalu, pemain pertahanan import dari Belanda, Mathew Steenvoorden sudah meninggalkan pasukan itu untuk menyarung jersi kelab lain di luar negara. – HMetro Online –
IMedikel TV






