Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan, Ananas Premium, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai USD1.5 juta di pameran antarabangsa Salon International de l’Alimentation (SIAL-InterFOOD) Indonesia 2024, baru-baru ini.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali, MoU tersebut melibatkan pengeksportan jus nanas dan nanas premium jenis MD2 ke pasaran tempatan dan serantau.
“Ia bukan sahaja menonjolkan kualiti produk nanas Malaysia, tetapi turut memperkenalkan teknologi terkini dan inovasi dalam pemprosesan nanas kepada pengunjung antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah kesinambungan momentum daripada kejayaan sebelumnya di SIAL Perancis, sekaligus menonjolkan nanas Malaysia di persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kejayaan itu membuka lembaran baharu buat industri nanas Malaysia, khususnya dalam meningkatkan eksport produk berasaskan nanas. la juga menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia.
Jelasnya, Malaysia kekal komited dalam memperluas pasaran nanas premium seperti MD2 serta pelbagai produk hiliran nanas ke peringkat antarabangsa.
Malah katanya kejayaan itu sejajar dengan slogan “Nanas Power! Sekali Tanam, 3 Kali Tuai” yang mencerminkan keberkesanan teknologi dan produktiviti sektor pertanian Malaysia.
Reruai LPNM pada pameran itu mendapat perhatian dan kunjungan daripada pengunjung pelbagai negara.
IMedikel TV






