Home Hiburan LAN PET PET MAHU SERTAI ASIA’S GOT TALENT

LAN PET PET MAHU SERTAI ASIA’S GOT TALENT

SUNGAI BULOH: Anggota Senario, Lan Pet Pet atau nama sebenar, Mazlan Ahmad, 55, menyimpan hasrat menyertai program realiti antarabangsa, Asia’s Got Talent.

Akui Lan, dia bercita-cita menyertai program realiti itu ketika mula diperkenalkan pada 2015. Namun, hasrat itu belum dapat ditunaikan. Seandainya program itu diterbitkan, Lan tidak teragak-agak mencuba nasib, kali ini.

“Sebelum tutup mata, saya ingin cuba nasib dalam Asia’s Got Talent. Pada 2015, saya hampir sertai, namun, saya tiba lewat di tempat uji bakat.

“Uji bakat ditutup jam 6 petang. Saya tiba lewat. Kali ini, saya mahu tunjukkan bakat istimewa di mana saya boleh menghasilkan pelbagai bunyi melalui mulut.

“Saya akan buat yang terbaik untuk menaikkan nama Malaysia. Saya hendak jadi seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang diangkat sebagai Penghibur No 1 Asia,” katanya ditemui pada majlis doa selamat dan kesyukuran sempena kemenangan Senario pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-36 serta tahlil untuk arwah bapanya di Hotel dan Restoran Al Maliki di Puncak Alam di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, tiada apa lagi yang mahu dikejar Lan, selain mencari keredaan Ilahi.

Banyak pengalaman pahit manis dan jatuh bangun sudah dilalui. Kenangan paling manis pastinya apabila Senario diangkat Artis Komedi Popular pada ABPBH Ke-36, bulan lalu.

Lan tidak percaya selepas sekian lama, Senario masih bertahan dan diterima peminat.

“Kami tidak sangka masih ada peminat sudi undi Senario. Saya ucapkan ribuan terima kasih.

“Walaupun gembira atas kemenangan itu, namun, jujurnya, saya amat takut dengan pujian. Sebab itulah ketika ambil trofi, saya ajak peminat di auditorium berselawat.

“Sekarang, saya hendak cari jalan ke akhirat. Saya mahu dekatkan diri dengan Allah dan Nabi Muhammad SAW.

“Atas alasan itu, saya mahu berhijrah ke Madinah jika diizinkan,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here