Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memastikan bekalan makanan bagi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini mencukupi dengan membuat persediaan menyimpan lebih 30 peratus bekalan makanan asas di negeri ini.
Pengarahnya, Azman Ismail, berkata pihaknya akan melantik pemborong dan peruncit di setiap daerah di Kelantan untuk menyimpan bekalan makanan daripada kuota yang diluluskan bermula November hingga Februari depan.
“Kita akan keluarkan kelulusan dan melantik beberapa pemborong dan peruncit untuk menyimpan bekalan makanan seperti beras, gandum, dan minyak.
“Sekarang dalam proses menunggu untuk perbincangan berkenaan ruang atau tempat untuk kita simpan barangan tersebut selama lima bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pejabat KPDN, di sini, semalam.
Azman berkata, sudah menjadi tanggungjawab pihaknya memastikan bekalan mencukupi supaya mangsa yang terjejas akibat bencana itu tidak terputus bekalan lebih-lebih lagi setelah dilanda banjir besar pada 2014 yang lalu.
“Ketika itu, ramai yang terputus bekalan terutama di Kuala Krai dan Gua Musang jadi kita ambil pengalaman daripada kejadian itu,” katanya.
I Medikel TV






