PADA usia sudah mencecah 65 tahun, Datuk Jamal Abdillah masih laris apabila tetap menjadi pilihan penganjur untuk mengadakan konsert.
Terbaru, Jamal bakal menjayakan Konsert Datuk Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura anjuran bersama Live Injection dan NJ Resources di Zepp Kuala Lumpur tahun depan.
Jamal berkata, tema Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura yang dipilih bertepatan untuk mengimbau semula fenomena filem Azura.
“Saya berusia awal 20-an ketika membintangi filem Azura bersama Fauziah Ahmad Daud. Namun, populariti daripada Azura itu saya nikmati sampai sekarang. Watak Zack lakonan saya masih diingati ramai.
“Sampai sekarang, Zack dan saya tak pernah berpisah. Saya masih lagi dipanggil Zack walaupun Azura sudah 40 tahun berlalu yang ditayangkan pada 1984,” katanya ketika ditemui pada sidang media baru-baru ini.
Ditanya sama ada dua anak lelakinya iaitu Osama Yamani dan Zaki Yamani akan diundang dalam konsert itu, Jamal berkata, mereka tidak turut serta kerana masing-masing sibuk.
“Kalau ikutkan saya, memang nak mereka berdua ada dengan saya di atas pentas konsert itu. Bagaimanapun, saya harus hormati juga jadual kerja seni mereka yang sibuk dengan bermacam urusan.
“Tak dinafikan, seronok kalau dapat buat persembahan anak-beranak pada konsert ini. Tapi, nampaknya belum ada rezeki lagi dan mana tahu di masa akan datang,” katanya.
Memaklumkan dia akan menyanyi lagu popular, Sandarkan Pada Kenangan bersama Wany Hasrita sebagai bintang undangan pada konsert berkenaan, Jamal menjelaskan dia amat selesa bekerja dengan Wany.
“Sebenarnya, saya ada juga bercadang menyanyikan lagu Sandarkan Pada Kenangan bersama penyanyi wanita lain. Namun, kebanyakan mereka yang dipilih menolak kerana tidak dapat memberi komitmen.
“Saya difahamkan mereka sudah terikat dengan tawaran lain dan syukur Alhamdulillah, Wany dapat ikut serta. Lagi pula, saya pun sudah biasa bekerja bersamanya dan selesa,” katanya.
Menurut Jamal, dia suka bekerja dengan Wany kerana wanita itu mudah berbincang dan senang berkongsi pendapat. Kalau ada yang kurang sesuai, Wany akan tegur dan beri pendapatnya. – HMetro Online –
IMedikel TV






