WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) mendakwa hirisan bawang yang digunakan oleh McDonald’s menjadi punca kepada wabak E.Coli yang menyebabkan seramai 90 orang jatuh sakit.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mendakwa, bawang hiris segar yang disajikan pada Quarter Pounder dan beberapa menu lain dari McDonald’s mungkin punca wabak berkenaan.
Bawang terbabit dibekalkan oleh Taylor Farms telah melakukan penarikan semula secara sukarela, manakala McDonald’s juga telah menarik bawang itu dari menunya.
Rangkaian restoran makanan segera di AS itu telah menghentikan sementara penjualan burger mereka pada bulan ini susulan wabak berkenaan.
Jumlah mangsa yang jatuh sakit kini mencecah 90 orang, termasuk 27 yang terpaksa dimasukkan ke hospital dan seorang lelaki warga emas di Colorado meninggal dunia.
Ahad lalu, McDonald’s mengumumkan akan menyambung semula penjualan burger Quarter Pounder selepas ujian E.Coli menunjukkan hasil negatif.
Bakteria E.Coli menyebabkan kekejangan perut, cirit-birit dan muntah yang berlanjutan selama tiga hingga empat hari.
Kebanyakan mereka yang mengalami simptom berkenaan pulih tanpa memerlukan rawatan, namun ada yang mengalami komplikasi. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






