Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kenaikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar disifatkan sebagai bantuan langsung yang disumbangkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin di seluruh Malaysia.
Seorang ibu kepada tiga orang anak, Norlela Malek, 46, dari Kampung Melor, di sini, berkata dia bersyukur kerana Perdana Menteri masih cakna dengan keluhan rakyat.
“Berapa pun yang diberi oleh kerajaan, kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin.
“Dengan bantuan secara langsung seperti itu, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kepada kita untuk menampung perbelanjaan harian,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Semalam Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan kenaikan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada 2024.
Peningkatan itu terus memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000 pada 2024.
Bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.
Manakala bagi kategori bujang pula akan menerima STR sebanyak RM600.
Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 ringgit berbanding RM3,700.
IMedikel TV






