LISBON: Cristiano Ronaldo dikeluarkan pada minit ke-63 ketika menentang Poland semalam tetapi pengurus Portugal Roberto Martinez mengesahkan dia akan bermain menentang Scotland di Hampden Park, pada awal pagi Rabu ini.
Martinez mengeluarkan Ronaldo selepas sejam perlawanan dalam aksi di Warsaw tetapi menurutnya, dia hanya menguruskan minit permainan pemain berusia 39 tahun itu.
Ronaldo menemui sasaran untuk Portugal ketika menewaskan Poland 3-1, sejurus selepas jaringan pembukaan Bernardo Silva.
Piotr Zielinski merapatkan jurang tuan rumah tetapi gol sendiri Jan Bednarek memastikan rekod 100% Portugal sekali gus satu-satunya pasukan yang menang semua tiga perlawanan di Liga A.
Ronaldo digantikan oleh Diogo Jota yang turut menyinar tetapi Martinez menegaskan kapten pasukan itu akan disenaraikan ketika menentang Scotland.
“Ia sebahagian daripada pengurusan pemain apabila anda berdepan dua perlawanan dalam masa 72 jam. Diogo Jota masuk dan cemerlang, Cristiano pula sempurna,” kata Martinez.
“Saya juga gembira dengan beberapa pemain baharu yang diberi peluang beraksi, mereka seperti sudah memiliki beberapa kap antarabangsa.
“Cabarannya ialah dua perlawanan di tempat lawan. 72 jam tetapi yang pertama berjaya kami lepasi dengan cemerlang. Pemain menunjukkan komitmen mereka ketika latihan di Football City.”
Scotland pula berdepan tugas berat untuk bangkit selepas tewas semua tiga perlawanan pertama peringkat kumpulan apabila kalah tipis di tangan Poland di tempat sendiri, Portugal dan Croatia di tempat lawan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






