Home Buletin Semasa HOSPITAL BACHOK BAKAL BERI KEMUDAHAN KEPADA 160,000 PENDUDUK SEKITAR BACHOK

HOSPITAL BACHOK BAKAL BERI KEMUDAHAN KEPADA 160,000 PENDUDUK SEKITAR BACHOK

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

BACHOK: Hospital Bachok yang dijangka akan beroperasi pada November depan memberi manfaat kepada 160,000 penduduk bagi kemudahan kesihatan di sekitar daerah Bachok.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Husin berkata, dengan adanya Hospital Bachok, ia mampu mengurangkan jumlah pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Hospital Bachok akan menjadi rujukan kepada pesakit, malah penduduk sekitar juga tidak lagi perlu bergerak jauh bagi mendapat perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang diperlukan.

“Hospital Bachok ini akan beroperasi bermula November depan, harap ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk, tetapi juga petugas-petugas kesihatan di hospital ini,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok, di sini, semalam, yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ketua Pengerah Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir Roslan Ismail dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Husin.

Dr Zaini berkata penyiapan Hospital Bachok adalah selaras dengan tema Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) iaitu memperkemas perkhidmatan penjagaan kesihatan positif yang tidak mencukupi.

Menurutnya tema tersebut juga meliputi ketidakpadanan sumber merentas pelbagai peringkat perkhidmatan dan pembiayaan penjagaan kesihatan serta sistem kesihatan yang sering berada dalam keadaan krisis dan dalam pusat penyakit pesakit.

Beliau berkata projek membina dan menyiapkan baki kerja cadangan Hospital Bachok melibatkan 76 katil yang mengandungi blok hospital tiga tingkat.

“Terdapat dua bilik pembedahan, klinik-klinik pakar, tiga wad untuk pesakit lelaki, perempuan, ibu serta anak, selain adanya dewan bersalin, forensik, makmal, ruang dialisis, kecemasan, pengimejan, ruang sokongan, perubatan dan unit pentadbiran serta latihan.

“Terdapat juga blok mekanikal dan elektronik di tingkat satu, blok pengurusan sisa sampah dan tempat parkir kenderaan,” katanya.


Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat mengambil serius berkenaan pengetahuan penjagaan kesihatan termasuk pada kempen celik kesihatan atau gula, serta dasar integrasi kesihatan yang diperkenalkan akan berkesan sekiranya masyarakat mengubah gaya pemakanan mereka bermula dari sekarang.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here