Home Hiburan GUGUR AIR MATA MAN KIDAL

GUGUR AIR MATA MAN KIDAL

146
0

DI sebalik imej ranggi dan wajah serius yang sering dilihat ketika beraksi di pentas, siapa sangka hati pemain gitar terkenal, Man Kidal, 61, cukup sensitif apabila isu mengenai kecaman terhadap penyanyi kumpulan Search, Datuk Amy, 66, dibangkitkan.

Biarpun cuba ditahan, namun gugur juga air mata Man Kidal tatkala meluahkan rasa kecewa terhadap sikap biadab segelintir netizen yang gemar melontar komen berbisa tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Man Kidal atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mahmood menyelar tindakan segelintir netizen mengkritik Amy yang disifatkan melampau.

“Kami bukan tidak boleh terima kritikan. Kami juga tidak harapkan pujian. Cuma dalam hal ini, saya tahu mereka yang membuat komen negatif terhadap Amy ada banyak tujuan.

“Ada yang sengaja memancing emosi, mahu tunjuk pandai dan ada yang bersifat peribadi. Apa yang membuatkan saya sedih apabila komen yang dilontarkan adalah biadab dan melampau batas.

“Di mana rasa hormat mereka terhadap seorang legenda yang sudah menghabiskan empat dekad daripada usianya untuk seni,” katanya.

Sebagai insan yang rapat dengan Amy, Man Kidal melihat kesungguhan sahabatnya itu menjayakan Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 21 September lalu.

“Komitmen ditunjukkan Amy untuk konsert itu sangat tinggi. Kami semua bekerja keras demi menjayakan konsert itu.

“Untuk individu yang sudah mencecah usia 66 tahun, Amy memberi yang terbaik. Bagi saya, persembahannya pada malam itu sudah banyak berubah jika hendak dibandingkan sebelum ini.

“Bayangkan, dia sendirian menyanyi untuk tempoh tiga jam. Bagi legenda rock sepertinya, Amy tidak perlu pun hendak buktikan apa-apa kepada peminat. Bagi saya kecaman yang dilemparkan itu lebih kepada fitnah,” katanya.

Man Kidal berharap semua pihak dapat berfikir secara rasional dan berlapang dada dengan tidak mengaitkan kontroversi yang menimpa kumpulan Search dengan mutu persembahan mereka.

“Kita faham perkara ini ada kaitan dengan berpuak-puak. Tetapi, biar ada batasan dan tidak bercakap sesuka hati.

“Orang cakap belakang kita pun sudah rasa sakit hati, apa lagi kalau cakap secara terang-terangan. Kami berjuang atas nama seni dan kita ada impian untuk jadi band terbaik dunia.

“Kalau tidak ada benda baik yang hendak cakap, lebih baik diam saja. Tidak perlu sampai tahap memfitnah,” tegasnya.

Man Kidal mengulas insiden Amy dikecam pengguna Facebook yang mendakwa dia gagal membawa lagu Pawana dengan baik ketika menjayakan konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Man Kidal bakal beraksi pada Konsert Amal Legends anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Sabah International Comvention Centre, Kota Kinabalu, pada 1 November depan.

Mengulas pembabitan dalam acara itu, Man Kidal menganggap kehadirannya sebagai sumbangan kepada Karyawan yang pernah membantunya suatu ketika dulu.

“Ketika saya sakit, Karyawan banyak bantu. Saya sangat menghargainya. Dengan bantuan mereka, saya makin sihat dan boleh kembali mencari rezeki.

“Saya tidak akan lupa jasa mereka. Jadi, tiba giliran saya untuk beri semula kepada penggiat seni yang memerlukan,” katanya.

Selain Man Kidal, Konsert Amal Legends menampilkan Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah serta artis kelahiran Sabah iaitu Azharina Azhar, Ayu Damit, Jimmy Palikat, Mad Sabah, Daniesh Suffian dan Hairee KOOL. – HMetro –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here