Home Buletin Semasa MINAT PADA JAHITAN DENIM ASBAB TINGGAL KERJAYA JURUTERA

MINAT PADA JAHITAN DENIM ASBAB TINGGAL KERJAYA JURUTERA

155
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: “Kebolehan dan minat saya menjadi tukang jahit dalam menjahit dan membaiki pakaian denim menjadi asbab saya meninggalkan kerja hakiki sebagai jurutera elektrik,” itu kata Zaki Ismail yang pernah bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas.

Zaki yang juga dikenali sebagai Sam mula membaiki denim sejak tahun 1999 ketika sedang belajar di sebuah sekolah agama di Kota Bharu kerana sukar mencari tukang jahit yang mahir untuk memperbaiki seluar denim miliknya.

“Sejak itu saya nekad untuk menjahit dan pada mulanya hanya baiki pakaian sendiri sebelum menerima upah daripada rakan-rakan.

“Dalam pada itu, saya juga turut mendapat bimbangan dan tunjuk ajar jiran sekampung yang merupakan bekas tukang jahit denim jenama terkenal antarabangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Telipot, Kota Bharu, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sanggup membawa mesin jahit mudah alih semata-mata minatnya ketika bekerja sebagai jurutera.

Zaki berkata, dia bersyukur dengan kerja lamanya kerana selain membolehkannya menjelajah sehingga 22 negara di dunia, dia juga dapat meluaskan pandangan terhadap dunia jahitan denim.

“Sebaik berhenti kerja, saya nekad tumpukan sepenuh perhatian kepada minat ini dan sehingga kini menjadi sumber pendapatan utama dalam meneruskan kehidupan.

“Selama 10 tahun bergelar tukang jahit, saya sudah menghasilkan banyak produk jenis denim antaranya topi, beg, jubah, seluar, alas perabot dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, dia kini masih dalam proses belajar dan menimba ilmu sebagai persiapan untuk mengeluarkan produk denim sendiri tidak lama lagi. 

Zaki berkata, kini dia memiliki 15 buah mesin jahit dan separuh daripadanya diimport dari Amerika Syarikat dan Jepun dengan kos keseluruhan kira-kira RM400,000.

Tambahnya, dia berharap golongan muda yang meminati bidang jahitan agar sentiasa belajar kerana di Eropah dan Jepun, kerjaya sebagai tukang jahit mempunyai reputasi tinggi serta sangat disegani.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here