Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Rata-rata gerai dan pasar di negeri Kelantan dimonopoli oleh kaum hawa, tidak terkecuali juga seorang pengusaha kuih tradisional, Sakinah Jaafar, 60 yang menjual pelbagai jenis pemanis mulut air tangan sendiri.
Sakinah berkata, wanita Kelantan cenderung beralih kepada perniagaan meskipun kecil-kecilan termasuk berniaga kuih.
“Kita memainkan peranan penting dalam keluarga, meskipun anak-anak sudah dewasa, tapi kita tidak terlepas dan tidak pernah jemu untuk berniaga.
“Dalam masa sama, kita boleh bersedekah dan mengisi masa lapang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Wakaf Zain, di sini, hari ini.

Jelasnya, dia menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional seperti ‘tepung bungkus’, ‘roti kukus’ dan yang terbaru adalah ‘tepung boko’ berperisa pandan, kaya dan beras.
“Dulu saya berniaga sayur-sayuran di Pasar Siti Khadijah dan sudah terbiasa bangun seawal jam 4 pagi, tambahan pula sekarang ini proses membuat kuih perlu dibuat awal,” katanya.
Jelasnya, meskipun harga bahan mentah naik melambung, dia masih mengekalkan harga dan kuantiti jualannya.
“Saya jual kuih ‘tepung boko’ dengan harga RM3 sebungkus namun sekiranya pembeli ingin membeli dengan harga RM2, saya akan jual asalkan orang ingin membelinya.
“Kalau saya naikkan harga, mungkin pembeli tidak akan membeli,” katanya.

Tambah Sakinah, setiap hari jualannya akan habis pada jam 12 tengah hari dan kebanyakkan yang datang adalah pelanggan tetap.
IMedikel TV






