Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Gangguan bipolar atau sebelum ini dipanggil penyakit mania-depresif atau depresi mania adalah penyakit mental yang menyebabkan perubahan yang tidak biasa dalam suasana hati, tenaga, tahap aktiviti, dan tumpuan seseorang.
Perubahan ini boleh membuatnya sukar untuk melaksanakan tugas-tugas harian.
Kecelaruan bipolar adalah penyakit mental yang dikaitkan dengan perubahan mood. Antara tanda penyakit bipolar disorder adalah perubahan mood yang melampau, daripada mania ke kemurungan dan sebaliknya.
Perubahan mood tersebut mungkin juga bercampur, jadi anda kemungkinan berasa gembira dan tertekan pada masa yang sama.
Tanda bipolar dan simptom kecelaruan bipolar berbeza-beza. Kebanyakan simptom ini juga boleh berlaku disebabkan keadaan lain, menyebabkan keadaan ini sukar untuk didiagnosis.
Tanda amaran bipolar secara umumnya boleh dibahagikan kepada mania dan kemurungan.
Mania:
- Rasa terlalu gembira untuk jangka waktu yang panjang.
- Kurang keperluan untuk tidur.
- Bercakap dengan cepat, selalunya dengan pemikiran yang cepat.
- Berasa sangat gelisah atau impulsif.
- Menjadi mudah terganggu.
- Terlebih keyakinan diri dalam kebolehan anda.
- Terlibat dalam tingkah laku berisiko, seperti mengadakan hubungan seks rambang, berjudi dengan wang simpanan, atau berbelanja besar.
Kemurungan:
- Berasa sedih atau putus asa untuk tempoh masa yang lama.
- Memencilkan diri daripada rakan dan ahli keluarga.
- Kehilangan minat dalam aktiviti yang pernah anda gemari.
- Mempunyai perubahan ketara dalam selera makan.
- Berasa keletihan atau kurang tenaga.
- Mempunyai masalah dengan ingatan, tumpuan dan membuat keputusan.
- Memikirkan atau mencuba bunuh diri, atau kerap berfikir tentang kematian.
Punca penyakit bipolar atau faktor risiko pada pesakit yang didiagnosis dengan kecelaruan kemurungan major termasuklah:
- Sekurang-kurangnya dua episod mood melampau di masa lalu
- Sejarah keluarga dengan tanda jenis mania
- Kejadian simptom psikiatri pertama sebelum usia 30 tahun
- Episod kemurungan semasa berlangsung kurang daripada satu bulan
- Ketidakstabilan mood dengan antidepresan
- Mengalami perasaan bercampur
Maklumkan kepada doktor jika anda mengalami sebarang simptom atau ciri-ciri bipolar disorder Malaysia mahupun keadaan mental yang lain.
Antara rawatan yang diperlukan untuk penyakit tersebut adalah:
- Ubat-ubatan
- Psikoterapi
IMEDIKEL TV






