Home Buletin Semasa WARGA ASING MENGAKU TIDAK BERSALAH BERJUDI, TIDAK MILIKI DOKUMEN SAH

WARGA ASING MENGAKU TIDAK BERSALAH BERJUDI, TIDAK MILIKI DOKUMEN SAH

139
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai telefon warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, berjudi di tempat awam dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah pada 27 Jun dan 1 Julai lalu.

Tertuduh Edwin Ihsan Sahdoni, 31, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, di atas pertuduhan tersebut dan mohon perbicaraan selepas dibacakan di hadapan Majistret, Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama pada 27 Jun lalu, jam 11.45 malam, tertuduh didakwa berjudi di tempat awam, di sebuah kedai aksesori telefon, Kampung Gertak Kechupu, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000, atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, pada 1 Julai lalu di lokasi dan masa yang sama, tertuduh didakwa tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh didakwa melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta sebatan tidak lebih enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Syazalia tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh adalah warga asing tanpa mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 20 Ogos depan.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here