Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@Imedikel TV
Situasi yang sering kali berlaku apabila berada di rumah adalah luka akibat terbakar atau melecur sama ada terkena bahan api, minyak panas atau air panas.
Menurut portal myhealth terdapat dua jenis luka.
Luka terbakar – didefinisikan sebagai kerosakan pada tisu badan akibat daripada haba kering seperti tenaga elektrik, geseran, kesan radiasi dan bahan api
Luka melecur – didefinisikan sebagai kerosakan pada tisu kulit akibat daripada bahan kimia, wap atau cecair panas
Kecederaan ini diklasifikasikan kepada tiga tahap iaitu :
- Tahap Satu (superficial) – Kecederaan yang hanya melibatkan lapisan luar kulit sahaja (lapisan epidermis). Ia tidak menyebabkan penembusan lapisan kulit yang lain
- Tahap Dua (partial thickness) – Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan kulit, menyebabkan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan (lapisan dermis terlibat)
- Tahap Tiga (full thickness) – Kecederaan yang menyebabkan kerosakan kepada semua lapisan kulit, juga melibatkan kerosakan pada lapisan otot, ataupun tulang.
Tanda/Gejala
Tahap Satu (superficial)
- Hanya melibatkan lapisan paling luar kulit (epidermis)
- Menyebabkan kulit menjadi merah
- Permukaan kulit kering
- Tiada pembentukan lepuh (blister)
- Menggelupas lapisan luar kulit (epidermis)
- Kebengkakan pada bahagian terlibat mungkin akan muncul
- Mangsa/pesakit akan berasa sakit dibahagian yang terlibat
- Mangsa/pesakit akan berasa sakit apabila bahagian terlibat disentuh
Tahap Dua (partial thickness)
- Melibatkan lapisan bawah kulit (epidermis & dermis)
- Bahagian terbakar menjadi warna putih atau merah ceri
- Bahagian luka menjadi lembap
- Pembentukan lepuh (blister)
- Mangsa / pesakit merasakan sakit yang kuat
Tahap Tiga (full thickness)
- Melibatkan lapisan kulit sehingga ke derma & lapisan lemak
- Bahagian yang tercedera menjadi kering
- Luka mungkin mengalami pendarahan
- Bahagian tercedera menjadi warna kelabu atau hitam
- Mangsa / Pesakit merasa sedikit sakit atau tidak merasa sakit, akibat dari kerosakan saraf
Jika anda mengalami situasi berkenaan, rawatlah dengan kadar segera. Rawatan segera menggunakan konsep 3B & 3C
- “Burn stop”– hentikan pembakaran, jika pakaian terbakar buka baju, jika susah untuk dibuka, jangan memaksa untuk buka baju. Alihkan objek panas dari mangsa
- “Breathing maintain” – pastikan saluran pernafasan mangsa terbuka, tiada sekatan atau objek menghalang pernafasan
- “Body examine” – periksa tahap kebakaran dan anggota terlibat
- “Cool”– sejukkan bahagian yang terbakar dengan mengalirkan air paip sekurang-kurangnya 10 minit
- “Cover” – tutup bahagian yang terbakar dengan kain atau plastik bersih
- “Carry” – bawa mangsa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut
Komplikasi
- Kesejukan melampau (Hipothermia) – Suhu badan menjadi kesejukan akibat dari kehilangan haba badan berikutan kecederaan luka terbuka / penembusan kulit.
- Hipovolemia – Kekurangan cairan dalam badan akibat dari kehilangan plasma badan dari luka terbakar
- Pembentukan parut luka yang besar, akibat dari kecederaan luka terbakar
- Jangkitan kuman daripada luka terbakar
Pencegahan
- Pengendali bahan kimia – perlu memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan bahaya terhidu bahan kimia atau tersentuh atau percikan bahan kimia yang boleh menyebabkan lecuran berlaku
- Pastikan tangan kering semasa meggunakan alatan elektrik
- Jauhkan kanak-kanak dari alat-alat elektrik yang panas
- Memakai losyen pelindung matahari (sunblock lotion) apabila terdedah dibawah panas terik
Rehabilitasi
- Lakukan cucian luka (wound dressing) di klinik atau hospital secara berterusan
- Melakukan fisioterapi bagi anggota badan yang terlibat
- Pembedahan plastik (jika perlu)
Imedikel TV






