KUALA LUMPUR: Tiada istilah terlambat buat kugiran Spider apabila memilih mementaskan konsert berskala besar hanya selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air.
Sebaliknya, Spider percaya, detik itu pasti tiba jika suatu hari nanti, rezeki dan nasib berpihak kepada mereka.
Terbukti apa yang diungkap ada kebenarannya apabila keputusan beraksi pada konsert perdana, Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 pada 22 Jun lalu, mendapat sambutan luar biasa apabila tiket untuk menyaksikan konsert itu habis dijual, dalam tempoh singkat.
Lautan manusia yang mengisi setiap ruang Zepp Kuala Lumpur sambil setiap daripada mereka melaungkan nama Spider, membuktikan sokongan dan kesetiaan peminat tidak pernah pudar, sekalipun band pelapis tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Tidak mahu peminat menunggu lama, Spider muncul pada jam 8.45 malam dengan menghidangkan lagu Ajaib sebagai menu pembuka selera. Ini diikuti beberapa lagu rancak lain seperti Rasakan Resapkan, Anti Graviti dan Ngam Ho hingga menjadikan suasana kian hangat.
Daripada irama rancak, band berasal dari Johor Bharu, Johor itu memperlahankan ‘pecutan’ dengan mengalunkan irama balada yang berjaya meledakkan nama mereka, iaitu Mungkinkah Terjadi.
Bagaikan penyanyi latar, penonton turut mengiringi Tam atau nama sebenar, Rustam Mustafah menyanyikan lagu ciptaan Datuk M Nasir dan lirik nukilan Yem itu.
Menjadi tonggak utama konsert, Tam membuktikan usia separuh abad bukanlah halangan untuk dirinya tampil energetik di pentas.
Menyanyi sambil memetik gitar dan bergerak aktif di atas pentas memerlukan stamina yang bukan sedikit, namun, Tam ada ‘kuasa’ itu.
Vokalnya masih sama seperti dalam cakera padat (CD). Sedap didengar, tidak menjemukan dan amat menghiburkan.
Tidak berdiri keseorangan, Spider ditunjangi persembahan mantap hasil petikan gitaris, Pown dan pemain bes, Iss serta ketukan padu pemain dram, Aie.
Melengkapkan lagi elemen muzik ska yang menjadi tanda dagang Spider adalah barisan peniup trompet.
Sepanjang lebih dua jam beraksi, Spider berjaya menyempurnakan 21 lagu. Antara dendangan itu adalah Cinta Dewa Dewi, Rela Ku Pujuk, Kekasihku, Lengit, Telinga Ke Tulang, Nazraku, Katalis, Laukku Cukup Masin, Kacap Terlabik dan Kasih Latifah.
Seakan menyerap 2,400 tenaga penonton yang membanjiri konsert anjuran IFIX Entertainment itu, Tam terus menggegarkan suasana dengan lagu rancak Aladdin sebelum meninggalkan pentas dengan lagu Bila Nak Saksi.
Berkongsi perasaan melihat sambutan hebat peminat, Tam mengakui perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
“Saya memang tidak pernah jangka dapat sambutan sehebat ini. Boleh dikatakan ini adalah pemandangan paling indah yang pernah saya lihat setakat ini.
“Inilah saat yang kami idam-idamkan dan akhirnya menjadi nyata,” katanya pada sidang media selepas konsert berakhir.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan melihat sambutan hebat penonton, terbit rasa ralat dalam hati apabila konsert julung kali itu dijayakan tanpa insan penting yang cukup dekat dalam hati setiap anggota Spider.
“Ada ralat kerana mereka tidak boleh bersama kami sampai tahap ini. Tony sudah tiada dan Nafie pula keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk beraksi dan terpaksa berehat.
“Bagaimanapun, kami kena teruskan konsert yang julung kali dianjurkan demi peminat. Walaupun mereka tiada, namun semangat tetap ada bersama,” katanya.
Pada 30 Jun 2021, Allahyarham Tony atau nama penuh, Tony Iskandar Alberto ditemukan tidak sedarkan diri di studio Luncai Emas, Sungai Buloh.
Difahamkan, Tony yang memeluk agama Islam pada 2004, mempunyai bilik persendirian di studio milik penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir bagi melakukan kerja berkaitan muzik dan penghasilan lagu. – BH Online –
IMedikel TV






