Home Sukan OLYMPIAKOS ANGGAP FINAL LIGA KONFERENS SEPERTI AKSI BIASA

OLYMPIAKOS ANGGAP FINAL LIGA KONFERENS SEPERTI AKSI BIASA

163
0

ATHENS: Olympiakos hanya dipisahkan 90 minit untuk melakar sejarah, namun mereka akan menangani final Liga Konferens Europa menentang Fiorentina awal pagi esok seperti perlawanan sebelum ini, kata pengurus Jose Luis Mendilibar.

Pasukan kendalian Mendilibar boleh mencipta sejarah dengan muncul kelab pertama Greece menang trofi Eropah, bagaimanapun ia tidak bermakna pengurus itu akan mengubah cara pemikirannya.

“Kami perlu kekal bertenang dan relaks serta lakukan apa yang membawa kami ke final. Untuk mengubah apa-apa pasti satu kesilapan,” kata Mendilibar pada sidang akhbar menjelang perlawanan di Athens awal pagi esok.

“Kami patut menangani perlawanan ini seperti aksi lain, kerana dengan cara itulah kami berjaya mara ke final.”

Satu daripada perlawanan dalam laluan ke final itu lebih menyerlah daripada yang lain.

Pada pusingan 16 terakhir, Olympiakos tumpas 4-1 di laman sendiri kepada Maccabi Tel Aviv pada aksi pertama dan perjalanan mereka di Eropah dilihat pasti akan berakhir.

Pada aksi kedua yang diadakan di Serbia, mereka mengubah jaringan itu sebelum menang 6-1 selepas masa tambahan, petunjuk membuktikan pasukan itu tidak pernah berputus asa.

“Sudah tentu perlawanan itu membuktikan kepada setiap orang apa yang mampu kami lakukan,” kata pengurus itu.

“Pertamanya kami ketinggalan dan kemudian kami melakukan segala-galanya untuk mengubah keputusan perlawanan dan kami berjaya melakukannya pada aksi kedua. Kami sedar ketika itu keupayaan sebenar kami.”

Mendilibar, yang mengemudi Sevilla memenangi Liga Europa musim lalu, mengambil alih Olympiakos pada Februari lalu dengan pasukan itu sudah tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Europa dan mengendalikan lapan perlawanan mereka dalam Liga Konferens. – REUTERS,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here