RAFAH: Israel menyerang sebahagian Gaza termasuk Rafah, di mana tentera rejim Zionis memperluaskan perintah pemindahan.
Serangan itu dilakukan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pencerobohan langsung ke bandar berkenaan berisiko membawa kepada bencana hebat.
PBB berkata, bantuan kemanusiaan turut disekat selepas tentera Israel menentang bantahan antarabangsa dan memasuki timur Rafah minggu ini.
Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh ketika serangan di tengah Gaza dan mangsa dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di bandar Deir al-Balah.
Mayat yang diselaputi debu putih terbaring di atas tanah di halaman kemudahan perubatan itu.
Di Rafah, saksi melaporkan, serangan udara sengit berhampiran persimpangan dengan Mesir, dan imej menunjukkan asap berkepul di atas bandar itu.
Serangan lain turut berlaku di utara Gaza, menurut saksi.
Semalam, Hamas menuduh Israel memperluaskan pencerobohan ke Rafah untuk memasuki kawasan baharu di tengah dan barat bandar Rafah.
Selasa lalu, tentera Israel merampas dan menutup lintasan di bahagian Palestin di persimpangan Rafah selepas mengarahkan penduduk di timur Rafah untuk berpindah.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, gencatan senjata akan dicapai ‘esok’ jika Hamas membebaskan tebusan.
Sementara itu, Hamas dalam satu video yang dikeluarkan pada Sabtu, berkata seorang tebusan Israel-British yang ditahan di Gaza sejak 7 Oktober meninggal dunia akibat serangan udara Israel.
Briged Ezzedine Al-Qassam yang mengeluarkan klip video berdurasi 11 saat itu menunjukkan tawanan, Nadav Popplewell masih hidup dan mengenal pasti dirinya.
Kumpulan Kempen Forum Tebusan dan Keluarga Hilang mengenal pasti Popplewell dalam satu kenyataan.
Dalam rakaman video dengan teks dalam bahasa Arab dan Ibrani itu memaparkan ‘Masa semakin suntuk. Kerajaan kamu berbohong’.
Tebusan itu tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan lain yang boleh dilihat.
Memakai kemeja-T putih dan kelihatan bercakap dalam keadaan terpaksa, tebusan itu memperkenalkan dirinya sebagai Popplewell, 51, dari kibbutz Nirim di selatan Israel.
Kemudian Hamas dalam satu video mendakwa Popplewell meninggal dunia pada Sabtu akibat kecederaannya yang terdahulu.
“Nadav Popplewell, seorang warga Britain, meninggal dunia hari ini selepas cedera parah sebulan lalu (akibat serangan udara Zionis),” kata teks bertindih dalam bahasa Inggeris dalam video di bawah gambar tebusan yang ditunjukkan dalam bingkai foto putih.
“Kesihatannya merosot kerana dia tidak menerima rawatan perubatan disebabkan musuh memusnahkan hospital di Semenanjung Gaza,” kata Abu Obeida, jurucakap Briged Ezzedine Al-Qassam, dalam satu kenyataan berasingan. – AFP, BH Online –
IMEDIKEL TV






