LONDON: Nottingham Forest meminta audio VAR dikeluarkan selepas tiga rayuan penalti mereka ditolak ketika kalah 2-0 di Everton yang menyebabkan kelab itu mempersoalkan integriti pegawai perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Forest mengeluarkan satu hantaran luar biasa di media sosial sejurus selepas wisel penamat di Goodison Park kelmarin menyatakan mereka sudah “memberi amaran awal” kepada badan pengadil PGMOL bahawa pegawai VAR, Stuart Attwell adalah peminat Luton yang bergelut untuk mengelak penyingkiran.
Forest hanya satu mata dan satu anak tangga di atas Luton, yang berada di zon penyingkiran.
“Hari ini Nottingham Forest sudah menghantar permintaan rasmi kepada PGMOL untuk menyiarkan kepada umum rakaman audio antara pegawai perlawanan ketika aksi menentang Everton di Goodison Park,” menurut Forest dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
“Kelab meminta ia dikongsikan bagi tiga insiden utama – terjahan Ashley Young ke atas Giovanni Reyna (minit ke-24), bola terkena tangan Ashley Young (minit ke-44) dan terjahan Ashley Young terhadap Callum Hudson-Odoi (minit ke-56).
“Kami dengan tegas menyokong komuniti bola sepak dan penyokong untuk mempunyai akses kepada audio dan transkrip bagi ketelusan penuh, memastikan integriti sukan ini tidak terjejas.”
PGMOL ditekan untuk menyiarkan rakaman audio bagi beberapa insiden kontroversi awal musim ini.
Ketua pengadil terpaksa mengakui kesilapan selepas gol Liverpool di Tottenham secara salah dikatakan ofsaid ketika pegawai VAR berasakan gol sudah diberikan.
Audio insiden tertentu juga disiarkan dalam program “Match Officials Mic’d Up” sepanjang musim namun undang-undang permainan menghalang audio sedemikian disiarkan secara langsung.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris meminta pengurus Forest, Nuno Espirito Santo, pemain pertahanan Neco Wolliams dan penganalis pengadil Mark Clattenburg menjelaskan komen mereka selepas perlawanan itu.
Forest mendapatkan khidmat bekas pengadil Clattenburg pada Februari lalu sebagai konsultan untuk membantu mereka yang percaya sering kali menjadi mangsa dalam beberapa keputusan kontroversi. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






