MUNICH: Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel melahirkan rasa lega selepas pasukannya menundukkan Arsenal 1-0 awal pagi tadi untuk layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Tuchel, yang muncul jurulatih pertama Jerman mengemudi tiga pasukan berbeza mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, akan meninggalkan kelab itu setahun lebih awal selepas kempen domestik yang mendukacitakan.
Bayern tidak akan menang sebarang trofi domestik musim ini selepas penguasaan mereka selama 11 tahun sebagai juara Bundesliga ditamatkan oleh Bayer Leverkusen dan keputusan buruk menjurus kepada bos kelab untuk berpisah dengan Tuchel pada hujung musim ini.
“Separuh akhir satu langkahan besar. Empat kelab terakhir, ia menyeronokkan. Terlalu gembira dan terlalu lega,” kata Tuchel pada sidang akhbar.
“Ini adalah detik istimewa. Kami menewaskan satu daripada kelab ternama Liga Perdana Inggeris. Kami perlu tunggu dan lihat apa yang boleh diraih menerusi keputusan ini. Musim ini belum berakhir. Terutamanya tidak sekarang.”
Kelab Bavaria itu menang menerusi tandukan padu Joshua Kimmich pada minit ke-63 yang memberikan mereka kemenangan agregat 3-2 menerusi dua perlawanan, dengan presiden Bayern, Herbert Hainer menyanjung corak latihan Tuchel sebagai ‘taktikal teragung.’
Mereka akan berdepan Real Madrid pada separuh akhir selepas kelab gergasi Sepanyol itu menyingkirkan juara tahun lalu Manchester City menerusi penentuan penalti.
Keputusan awal pagi tadi bermakna Tuchel muncul warga Jerman pertama mengemudi kelab dari tiga negara berbeza sekurang-kurangnya ke separuh akhir pertandingan itu selepas beliau memenangi kejuaraan bersama Chelsea pada 2021 dan mengemudi Paris Saint-Germain ke final pada 2020.
Ditanya sama ada beliau berasa kepuasan memandangkan bagaimana musimnya bersama Bayern, Tuchel berkata: “Tetapi dari mana kritikan itu datang. Dari anda, media dan kini anda bertanya kepada saya sama ada saya berasa puas?”
“Itulah dia… Saya sudah memberikan segala-galanya sejak hari pertama dan akan memberikan segala-galanya hingga hari terakhir,” katanya.
Tuchel kini boleh pergi penuh bangga dengan Bayern masih bersaing untuk merebut trofi kelab sebenua terbesar yang pernah mereka menangi enam kali sebelum ini.
“Kami amat bangga untuk layak ke separuh akhir dan kami akan lihat dalam dua minggu apa yang akan berlaku,” katanya.
– REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






