AUGUSTA: Scottie Scheffler mendahului pusingan ketiga Masters dengan kelebihan satu pukulan ke atas Colin Morikawa, manakala Tiger Woods mengharungi pusingan terburuknya.
Scheffler mencatat satu bawah par 71 dan keseluruhan tujuh bawah par 209 untuk mendahului saingan di Augusta National.
Juara Masters 2022 itu tercicir seketika apabila melakukan double-bogey di lubang ke-10, tetapi bangkit dengan eagle di lubang ke-13 dan dua birdie pada baki empat lubang untuk kembali mendahului kejuaraan.
“Pukulan putt itu penting buat saya. Saya cuba menyerap tenaga positif dengan melihat bola masuk ke dalam lubang.
“Kesabaran saya membuahkan hasil, melakukan eagle di lubang ke-13 dan menamatkan pusingan dengan baik,” kata Scheffler.
Seorang lagi pemain Amerika Syarikat, Morikawa – juara major dua kali – mencatat 69 pukulan di pusingan ketiga untuk keseluruhan 210 pukulan.
Juara major 15 kali, Woods, mencatat pusingan terburuknya di Masters dengan 10 atas par 82, dan berada pada 11 atas par 227 keseluruhan, sekali gus terlepas peluang untuk memburu jaket hijau keenamnya.
“Saya tidak memukul bola atau melakukan putt dengan baik. Saya memukul bola ke arah yang saya tidak sepatutnya pukul,” kata Woods. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






