Home Segmen Kesihatan AMBIL TAHU GUSI BENGKAK

AMBIL TAHU GUSI BENGKAK

343
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Gusi bengkak adalah satu masalah yang baru dalam kalangan kita. Salah sebuah penyakit yang paling kerap mengakibatkan gusi bengkak, sakit dan berdarah ialah ‘Gingivitis’.

Menurut laman web doctoroncall ‘Gingivitis’ merupakan penyakit yang akan mengakibatkan keradangan di gusi sekaligus menjadikannya bengkak.

Terdapat beberapa faktor atau penyebab gusi menjadi bengkak iaitu:

  • Penyebab gusi bengkak yang utama ialah kebersihan mulut. Setiap individu haruslah menjaga kebersihan mulut dengan teliti supaya dapat mengelakkan berlakunya kejadian seperti ini. Antara cara menjaga kebersihan mulut adalah dengan menggosok gigi sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Selain itu, kita juga boleh berkumur dengan menggunakan ubat kumur antiseptik untuk membantu membasmikan kuman dalam mulut.
  • Penyebab seterusnya adalah pemakaian pendakap gigi. Hal ini kerana sekiranya pendakap gigi dipasangkan terlalu berhampiran dengan gusi, ianya akan memberikan tekanan pada gusi sekaligus menyebabkan ia menjadi bengkak.
  • Selain itu, amalan pemakanan yang tidak sihat juga boleh menjadi salah satu penyebab gusi bengkak. Makanan yang dimaksudkan adalah makanan yang bergula. Hal ini bolehlah diperbetulkan dengan mengamalkan makanan seimbang yang kurang kandungan gula. Oleh itu, kita haruslah bertekad menjauhkan diri daripada minuman atau makanan yang bergula.
  • Seterusnya, kekurangan vitamin juga boleh mendorong ke arah gusi bengkak. Vitamin yang paling penting untuk menjamin kesihatan gusi ialah vitamin C. Sekiranya badan kita kekurangan vitamin C maka gusi kita akan bengkak dan mudah berdarah. Penyakit kekurangan vitamin C dipanggil sebagai ‘Scurvy”.
  • Sehubungan itu, kehamilan juga merupakan salah satu penyebab gusi bengkak yang ramai tidak ketahui. Hal ini kerana sewaktu mengandung, ibu akan kekurangan kandungan nutrisi dalam badan disebabkan zat-zat tersebut diberikan kepada kandungan dalam rahimnya. Justeru itu, wanita hamil tersebut akan mengalami gusi bengkak.
  • Seterusnya, penyebab lain gusi bengkak adalah disebabkan oleh pengumpulan nanah dalam gigi, gusi ataupun tulang yang memegang gigi yang datang daripada jangkitan kuman. Hal ini boleh berlaku akibat penjagaan kebersihan mulut yang tidak betul yang boleh menyebabkan kedatangan bakteria.

APAKAH PETUA GUSI BENGKAK?

  • Terdapat banyak petua untuk gusi bengkak yang boleh diamalkan supaya dapat hilangkan gusi bengkak tersebut. Salah satu adalah dengan menggunakan air garam. Kita hendaklah melarutkan garam dalam segelas air dan kumurkan mulut dengan menggunakan air tersebut. Langkah ini harus diulang beberapa kali dalam sehari untuk meredakan gusi yang bengkak.
  • Selain itu, sekiranya anda tidak suka menggunakan air garam, kita juga boleh menggunakan jus perahan lemon. Setelah memerah jus buah lemon, kumur mulut untuk beberapa minit dengan jus tersebut. Ini juga merupakan petua yang efektif untuk mengurangkan bengkak di gusi.
  • Tambahan pula, kita haruslah sentiasa mengamalkan tabiat flos gigi dengan menggunakan benang flos. Hal ini kerana selepas makan, semestinya akan ada sisa-sisa makanan yang terlekat pada celah gigi. Kita perlulah memastikan sisa-sisa ini dikeluarkan kerana kalau tidak akan mencetuskan penyakit gingivitis.
  • Seterusnya, kita juga dinasihatkan untuk mengambil vitamin untuk menguatkan lagi gusi serta menghindari badan dari penyakit yang tidak diingini. Vitamin yang dapat membantu ialah vitamin C, asid folik serta zat besi. Tiga vitamin ini memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan gusi.
  • Petua yang tidak perlu diulangi kepada kita berkali-kali ialah minum air yang banyak. Perkara ini semestinya tidak perlu diulang kepada kita kerana kita sudahpun tahu dan mahir tentang keistimewaan air. Air dapatlah mengurangkan bakteria dalam mulut sekaligus meggantikan fungsi air liur.
  • Selain itu, kita juga boleh menggunakan ubat gigi yang khas untuk membantu keadaan gusi bengkak tersebut. Dengan menggunakan ubat gigi tersebut, bengkak gusi akan dapat dikurangkan dan gusi dapat dikukuhkan sekaligus gigi akan mendapat kalsium yang mencukupi untuk menjadi lebih kuat.
  • Akhir sekali, bagi individu yang kerap merokok, tabiat ini haruslah dihentikan. Hal ini disebabkan kandungan rokok seperti nikotin, tembakau dan tar akan menjadikan gigi kelihatan kuning serta mulut akan berbau busuk. Ini akan mendorong kepada bengkak gusi kerana kebersihan mulut merosot.

Ramai yang kurang cakna tentang masalah gusi bengkak. Sekiranya anda mempunyai gusi bengkak, terdapat beberapa tanda lain yang boleh wujud bersama. Hal ini seperti mulut berbau busuk, gusi menjadi merah dan mudah berdarah apabila berus gigi ataupun sewaktu mengunyah makanan yang keras. Kadang-kadang terdapat juga keadaan di mana gusi bengkak tersebut mula bernanah. Akhirnya, ialah gigi menjadi longgar dan terpaksa dicabut.

APAKAH RAWATAN MEDIKAL YANG DAPAT DILAKUKAN UNTUK GUSI BENGKAK?

  • Tujuan utama melakukan rawatan ini adalah untuk mencegah berlakunya jangkitan pada gusi. Rawatan yang dilakukan akan mengikut tahap bengkak pada gusi. Sekiranya perlukan rawatan medikal maka pembedahan akan dilakukan. 
  • Rawatan yang paling umum dipanggil pembersihan terbuka di mana kalkulus pada akar gigi akan dibuangkan untuk menghentikan tekanan pada gusi.
  • Seterusnya, ialah grafting tulang. Cara ini dilakukan dengan menggunakan tulang tiruan dimana tulang tiruan tersebut akan diletakkan pada kawasan kehilangan tulang. 
  • Kehilangan tulang merupakan tahap serius kerana gusi bengkak kemungkinan telah dijangkiti kuman dan berlarutan sehingga tulang telah merosot.

Anda perlu segera berjumpa dengan doktor sekiranya bengkak berlarutan lebih dari dua minggu supaya doktor dapat mengenal pasti sebab masalah gusi bengkak tercetus.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here