BIRMINGHAM: Tottenham Hotspur merekodkan kemenangan besar 4-0 ke atas Aston Villa yang beraksi dengan 10 pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Villa Park, sebentar tadi.
Empat gol yang terhasil pada babak kedua itu membolehkan mereka merapatkan jurang dengan Villa kepada dua mata, sekali gus menghangatkan pertarungan merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Spurs yang berada di tempat kelima meledak dua gol pada awal separuh masa kedua dengan sepakan voli James Maddison membuka tirai jaringan pada minit ke-50 sebelum Brennan Johnson menyumbang gol kedua tiga minit kemudian.
Peluang untuk tuan rumah melakukan kebangkitan selepas itu seakan tertutup apabila John McGinn dilayangkan kad merah pada minit ke-65 kerana mengasari pertahanan Spurs, Destiny Udogie.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Spurs dengan kapten mereka, Son Heung-min dan pemain gantian, Timo Werner mencetak nama selaku penjaring pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 4-0.
Kemenangan itu menyaksikan Spurs yang masih kurang satu perlawanan mengumpul 53 mata, dua mata di belakang Villa yang menghuni tangga keempat. – REUTERS,BH Online-
Imedikel TV






