Oleh: Nur Athirah Azman, IMedikel TV
KOTA BHARU: Puisi adalah sebahagian warisan sastera tradisional yang digunakan sebagai medan dakwah dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Malam Aprisiasi Puisi Ramadhan sebagai persediaan Ramadhan yang bakal tiba pada Selasa ini.
Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Ismail, berkata dakwah bukan sahaja menerusi ceramah islamik namun ia juga dapat disampaikan menerusi puisi mengenai keindahan penghayatan bulan Ramadhan.

“Pada malam ini kita tampilkan puisi-puisi Islamik untuk mengajak orang ramai sebagai persediaan bulan Ramadhan dalam keadaan santai namun penuh keinsafan.
“Semoga kita masuk ke bulan Ramadhan dengan penuh kesediaan, kita juga ingin memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa puisi ini boleh dijadikan sebagai medium dakwah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Malam Aprisiasi Puisi Ramadhan di Dewan Petra Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, di sini, malam tadi.

Katanya, puisi berkaitan Ramadhan yang membawa maksud keinsafan itu dideklamasikan oleh 19 peserta yang terdiri daripada pesara dan guru-guru SMK Ismail Petra.
“Kita ingin tampilkan DBP Wilayah Timur dan gabungan penulis anak muda Kelantan (GEMA) dalam program sebegini untuk membuka mata masyarakat dan mengajak masyarakat bersama dengan DBP serta penggiat-penggiat sastera tanah air untuk mendekati medan dakwah,” katanya.
Jelas Ariza, pihaknya juga berdepan dengan sedikit kekangan daripada segi sokongan peserta dan pelajar disebabkan persiapan awal Ramadhan dan cuti persekolahan.
Bagaimanpun, beliau berkata program sebegini akan terus dilaksanakan setiap tahun bagi menyambut ketibaan bulan mulia dan memberi semangat kepada orang ramai untuk menjalankan amal ibadat.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang merasmikan program tersebut.

IMedikel TV






