Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Alangkah tidak selesa apabila bibir pecah dan kering kerana itu bukan sahaja menyakitkan malah mencacatkan penampilan diri anda.
Persoalannya, apakah punca bibir kering walaupun minum air banyak?
Secara umumnya, bibir memiliki lapisan kulit yang nipis serta lutsinar yang bernama stratum korneum dan di dalamnya pula ada banyak salur darah.
Bibir yang lembap menjadi kering kerana mengalami masalah:
- Dehidrasi
- Malnutrisi
- Kurang minum air
- Tabiat menjilat bibir
- Tabiat menggigit bibir
- Mengambil alkohol
- Menghisap rokok
- Pengambilan makanan tertentu
- Pengambilan ubatan tertentu
- Terdedah pada cahaya matahari
Dalam usaha untuk elak masalah ini berlaku pada bibir maka cegah diri daripada melakukan faktor-faktor risiko di atas selain mendapatkan informasi serta nasihat lebih lanjut daripada doktor.
Dalam pada itu, kekeringan pada bibir boleh jadi punca ulser bukan sahaja pada bibir malah juga dalam mulut.
Sekiranya tidak dirawat dengan cepat, ia akan menjejaskan kehidupan seharian individu.
Kewujudan ulser atau mata ikan ini akan mengakibatkan individu rasa tidak selesa untuk bercakap serta makan dan minum.
Menjadi kebimbangan di mana bibir pecah dan kering itu adalah indikator keadaan kesihatan yang lebih bahaya iaitu Cheilitis.
Angular Cheilitis atau nama pendeknya Cheilitis adalah kondisi radang pada bahagian tepi hujung bibir di mana bibir atas dan bibir bawah bertemu. Ia boleh terjadi pada 1 atau 2 sisi bibir serentak.
Keradangan ini biasa berlaku apabila air liur yang terkeluar dan terperangkap di bahagian bibir kering dan pecah itu mula mengering. Kesannya, ia akan membawa kulat hadir sekali gus merebak dan membiak di situ.
Selain daripada infeksi kulat, faktor risiko Cheilitis yang lain termasuk terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama, penyalahgunaan produk, alahan, makanan, ubatan serta kondisi yang tertentu.
Apabila kondisi ini berlaku, bibir kering dan pecah anda mungkin akan menunjukkan simptom seperti yang berikut:
- Pengelupasan
- Pendarahan
- Kekeringan
- Kemerahan
- Kegatalan
- Kebengkakan
- Ulser
- Nanah
IMedikel TV






