Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Masih ramai ibu bapa membuat persiapan terakhir membeli kelengkapan sekolah yang akan memulakan sesi baharu pembelajaran bermula hari ini di negeri ini.
Ibu tunggal Wan Fadhilah Wan Hamat, 34 berkata memandangkan empat anaknya masih bersekolah, dia mengakui menggunakan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 untuk persiapan.
“Bagaimanapun peruntukan ini masih tidak cukup kerana harga barangan termasuk pakaian sekolah dan alat tulis meningkat harganya.
“Saya juga terpaksa meminjam wang daripada keluarga dan kawan-kawan memandangkan gaji sebagai pengawal keselamatan hanya RM1,300 dan syukurlah terpilih menerima sumbangan sebegini,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Kelengkapan Sekolah dari syarikat hartanah, Keltrade Properties, di Kok Lanas di sini, semalam.
Wan Fadhilah berkata empat anaknya Fakhrullah Al-Mukmin Fadzli, 11, Farhad Al-Mukmin, 9, Fayyad Al-Mukmin, Fattah Al-Mukmin, 6, juga perlu membayar yuran dan dia sudah menyimpan wang bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tujuan berkenaan.

Bagi Rosliza Abdul Rashid, 47 berkata dia tidak lena tidur memikirkan persiapan untuk kelengkapan sekolah tiga anaknya.
“Sebelum ini saya sudah beli sedikit pakaian dan alat tulis untuk anak-anak, tetapi dengan adanya sumbangan ini ia melengkapkan lagi keperluan yang tidak cukup.
“Tiga anak iaitu dua di sekolah rendah dan seorang di sekolah menengah memberi cabaran kepada keluarga kami memandangkan saya adalah tukang sapu manakala suami pula sebagai buruh,” katanya yang mempunyai tujuh anak kesemuanya.
Sementara itu, Pengurus Keltrade Properties Cawangan Kota Bharu Fakhrurrazi Mustafa berkata program tanggung jawab sosial korporat (CSR) yang julung kali dibuat bagi pelajar asnaf tersebut dipilih menerusi senarai yang disediakan guru Sekolah Kebangsaan Kok Lanas.
Katanya sebelum ini pihaknya melakukan program CSR membantu asnaf setiap kali Ramadan dan mangsa banjir di negeri ini.
IMedikel TV






