Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Kudis buta atau skabies merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit melalui sentuhan langsung kulit terutamanya pada tapak tangan.
Penyakit ini berpunca daripada sejenis hama yang dinamakan Sarcoptes scabiei. Ia adalah sejenis serangga halus yang membentuk laluan atau terowong di bawah lapisan luar kulit.
Seterusnya, ia akan bertelur di bawah kulit dan menghisap darah daripada mangsanya. Ini akan menyebabkan rasa kegatalan yang keterlaluan pada permukaan kulit.
Pada masa yang sama, ramai yang menganggap skabies ini adalah masalah kegatalan kulit biasa kerana muncul ruam dan kemerah-merahan seperti alahan badan.
Sebaliknya, ia perlu dirawat segera kerana ia boleh menganggu kualiti hidup dan membuatkan pesakit tidak selesa dan boleh menjangkiti orang sekeliling.
Simptom penyakit kudis buta ini boleh mengambil masa lebih kurang dua hingga enam minggu untuk timbul dalam badan seseorang yang telah dijangkiti.
Antara simptomnya adalah:
- Kegatalan yang sangat ketara sehingga boleh mengganggu aktiviti harian atau tidur pada waktu malam.
- Timbulnya ruam seperti kemerah-merahan pada bahagian badan namun lebih ketara di kawasan lipatan kulit dan celah-celah seperti bahagian dalam paha, pusat, celah ketiak, dan punggung.
- Terdapat kesan calar pada kulit akibat menggaru secara agresif dan boleh menjadi parah apabila terdedah kepada kuman dan bakteria yang lain.
Bagi rawatannya, selain krim dan losyen, doktor juga mungkin akan memberikan ubat tahan gatal sekiranya kegatalan adalah keterlaluan.
Sekiranya terdapat orang sekeliling kita yang dijangkiti skabies, orang ramai disarankan untuk mengambil langkah pencegahan secepatnya dengan cara:
- Individu yang mempunyai sentuhan fizikal dengan pesakit perlulah mendapatkan pemeriksaan dan menerima rawatan pada waktu yang sama.
- Basuh baju, cadar dan selimut dalam air panas serta boleh ‘merebusnya’ bagi membunuh hama.
- Sekiranya tidak boleh dibasuh, ia boleh disimpan dalam beg plastik yang ditutup sekurang-kurangnya 72 jam sebelum digunakan semula.
- Jika ubat disapu oleh orang yang tidak dijangkiti skabies, mereka perlu memakai sarung tangan.
- Jemur tilam dan pakaian di bawah sinaran matahari.
Sekiranya ada ahli keluarga yang mengalami tanda-tanda jangkitan skabies, mereka dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan daripada doktor. Ini penting bagi mengelakkan jangkitan yang tidak diingini.
IMedikel TV






