Home Buletin Semasa MOSTI ANJUR STEM CAMP PUPUK MINAT DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH TERHADAP PEMBELAJARAN...

MOSTI ANJUR STEM CAMP PUPUK MINAT DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH TERHADAP PEMBELAJARAN STEM

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyedari kepentingan bakat yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri dalam memacu hasrat negara mencapai negara berteknologi tinggi, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2030.

Menterinya, Chang Lih Kang dalam satu kenyataan media, berkata MOSTI turut memandang serius cabaran yang dihadapi khususnya di peringkat sekolah untuk menarik minat pelajar terhadap pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang boleh menjejaskan penawaran bakat tempatan bagi mencapai agenda Ekonomi MADANI.

“Justeru, MOSTI hari ini telah melancarkan STEM Camp, satu inisiatif di bawah program SciTech4U melalui aktiviti pembelajaran secara tidak formal di luar bilik darjah.

“STEM Camp juga bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap ilmu sains, seterusnya meningkatkan pengetahuan, menambahbaik kemahiran serta memahami aspek aplikasi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI),”katanya.

Tambahnya di bawah Program SciTech4U, pembelajaran STI diadakan dalam bentuk aktiviti interaktif, hands-on, pocket talk, demonstrasi, pertandingan, pameran dan kaedah-kaedah lain yang bersesuaian. Secara umum, SciTech4U melibatkan beberapa kategori program 2 seperti program perdana (Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics), program bersepadu (dengan penglibatan Jabatan, Agensi atau pihak lain seperti STEM Camp dan lain-lain.

MOSTI menitikberatkan pendekatan Whole of Government Approach (WGA) bagi menangani cabaran berkaitan minat pelajar terhadap bidang STEM.

Oleh itu, MOSTI telah menjalin kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan agar usaha kolektif dapat direncana dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Pelaksanaan STEM Camp ini dirangka melalui penglibatan rakan strategik secara bersepadu yang terdiri daripada pelbagai pemegang taruh dalam bidang STEM seperti agensi di bawah MOSTI, institut pengajian tinggi awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta lain-lain agensi yang menjalankan fungsi dalam pembudayaan STIdi negara ini.

“MOSTI mensasarkan untuk menganjurkan sebanyak 15 siri STEM Camp di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini,”katanya.

Penganjuran Program STEM Camp di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chen Moh, Petaling Jaya telah dijayakan oleh Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) SJK(C) Chen Moh dengan kerjasama 3 agensi di bawah MOSTI iaitu Pusat Sains Negara, Planetarium Negara dan Agensi Nuklear Malaysia dengan penyertaan 100 orang pelajar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here