Home Buletin Semasa NVP SEMASA KEHAMILAN

NVP SEMASA KEHAMILAN

193
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Mual dan muntah (NVP) adalah perkara biasa terutamanya sepanjang awal kehamilan atau semasa trimester pertama.

Dalam tempoh tersebut, para ibu akan berasa tidak selesa dan mungkin mengalami muntah dan lesu beberapa jam atau sepanjang hari.

Bagaimanapun, kebanyakan wanita mampu mengatasi masalah tersebut di rumah tanpa perlu mengambil ubat-ubatan di klinik atau hospital.

Masalah mual dan muntah di awal kehamilannya biasanya akan bermula pada usia kandungan 6 minggu.

Bagaimanapun, menjelang minggu ke-9 hingga ke-12 ia mungkin akan menjadi lebih teruk dan biasanya masalah tersebut akan berhenti pada minggu ke-16 hingga ke-18 kehamilan.

Namun, setiap ibu mungkin mempunyai gejala yang berbeza dan ada sesetengah ibu akan mengalami alahan mengandung sepanjang kehamilan.

Terdapat ibu mengandung yang terpaksa dikejarkan ke hospital jika masalah itu sangat menjejaskan kesihatan ibu sehingga tidak berdaya lagi akibat terlalu kerap muntah.

Mual dan muntah semasa hamil biasanya disebabkan oleh faktor hormon iaitu human Chorionic Gonadotropin (hCG) dan perubahan tahap estrogen.

Masalah tersebut selalunya lebih teruk kepada wanita hamil dengan kehamilan molar dan kehamilan kembar kerana tahap hCG yang sangat tinggi.

Selain menjadi ibu pertama kali, tekanan psikologi dan emosi juga boleh menyumbang kepada NVP.

Bagaimanapun, NVP adalah kurang biasa pada wanita yang lebih tua, wanita yang mempunyai lebih daripada seorang anak, dan wanita yang merokok dan pemerhatian tersebut dikaitkan dengan jumlah plasenta yang lebih kecil kepada wanita tersebut.

Para ibu dinasihatkan untuk melaporkan tanda-tanda dan gejala dehidrasi.

Dengan itu, ibu-ibu dengan NVP yang teruk dan tidak berhenti-henti harus mendapatkan nasihat perubatan dengan kadar segera di klinik atau hospital berdekatan. – FAKULTI PERUBATAN DAN SAINS KESIHATAN, UPM –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here