Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Isu lambakan madu tiruan yang dijual di pasaran menjadi bualan ramai ketika ini.
Sebanyak 90 peratus madu tiruan dijual di pasaran pada masa kini dan ianya semakin sukar dibendung.
Semalam, media melaporkan lambakan madu yang dijual di pasaran menyebabkan pembeli keliru tentang ketulenan madu tersebut.
Di Malaysia, madu diklasifikasikan berdasarkan spesis lebah yang menghasilkannya iaitu “madu” yang dihasilkan oleh lebah madu “apis dorsata” atau “madu kelulut” yang dihasilkan dari “stingless bee”.
Team Imedikel TV menemubual orang awam bagi bertanyakan pendapat tentang ketulenan madu yang dijual di pasaran.
Seorang pekerja swasta, Alif Firdaus Tajri, 24, berkata madu kelulut adalah sejenis minuman yang sukar untuk ditemui namun ia mudah dijual secara terbuka seakan madu asli.

“Bagi saya, saya memilih untuk membeli madu terutama madu kelulut dengan peniaga di kawasan kampung yang mana saya boleh meilhat sendiri sarang kelulut di rumah peniaga berbanding membelinya di pasaran.
“Ini kerana saya boleh melihat sendiri cara pemprosesannya. Dari segi rasa memang boleh dibezakan kerana madu tiruan ini lebih kepada campuran gula,” katanya.
Menurut seorang lagi pekerja swasta, Izzatul Azma Sanusi, 26, meskipun dia bukan seorang penggemar madu, namun dia dapat membezakannya dengan melihat tekstur madu asli.

“Berdasarkan apa yang saya dapat daripada pembacaan dan kajian saya di Internet, sekiranya madu asli diletakkan di dalam peti ais, teksturnya tidak akan menjadi keras dan ianya tidak boleh dimakan dengan sudu besi.
“Walaupun harganya murah, orang ramai dinasihatkan agar jangan terpedaya dan mereka perlu rajin membaca kandungan yang diletakkan dalam madu tersebut,” katanya.
Izzatul berkata, pembeli perlu menghentikan pembelian madu tiruan dengan mendapatkan sedikit ilmu supaya timbul kesedaran untuk membendung jualan madu tersebut.
Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malayasia (KKM), berdasarkan Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, produk madu perlu mengikut standard yang telah dietapkan.
Madu asli mempunyai kandungan tidak kurang daripada 60 peratus gula penurunan, kandungan sukrosa tidak lebih daripada 10 peratus dan tidak boleh mengandungi hydroxymethy/furfural (HMF) lebih daripada 80 mg/kg.
KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menjalankan pemantauan produk madu di pasaran.
Sebanyak 769 sampel produk madu dengan pelbagai jenama telah diambil dari tahun 2016 sehingga kini.
IMedikel TV






