PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique berkata Kylian Mbappe sudah pulih daripada kecederaan tumit dan akan berada dalam skuad untuk berdepan Lille malam ini.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Mbappe tidak berlatih bersama skuad semalam namun sedia jika diperlukan bagi aksi Ligue 1 di ibu negara, sekalipun difahamkan PSG mungkin merehatkannya menjelang aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Real Sociedad minggu depan.
“Kylian akan berada di sana esok dan boleh beraksi,” kata Luis Enrique kepada wartawan lewat malam tadi.
“Dia tidak berlatih hari ini kerana kami tidak mahu mengambil sebarang risiko.”
Mbappe menjalani pemeriksaan di pusat latihan PSG Khamis lalu, yang mana kelab itu menyatakan “meyakinkan.”
Dia mengalami kecederaan itu ketika menang 3-1 ke atas Brest pada suku akhir Piala Perancis Rabu lalu yang mana dia menjaringkan gol pembukaan.
Masa depan Mbappe menjadi topik paling hangat dalam kancah bola sepak Eropah selepas laporan – yang dinafikan oleh wakil pemain itu – dia sudah memutuskan untuk berpindah ke Real Madrid musim depan.
PSG terdesak untuk mengelak tersingkir daripada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut selepas mereka terkandas di tangan Bayern Munich pada peringkat itu musim lalu.
Mereka mendahului lapan mata di puncak Ligue 1 menjelang perlawanan hujung minggu ini. – AFP-BH ONLINE-
Imedikel TV






