Home Sukan KUOTA PEMAIN IMPORT: LIGA M NOMBOR SATU DI ASIA

KUOTA PEMAIN IMPORT: LIGA M NOMBOR SATU DI ASIA

148
0

KUALA LUMPUR: Liga Malaysia (Liga M) boleh dianggap bagaikan ‘taman syurga’ buat pemain import selain Liga 1 Thailand selepas kedua-duanya menjadi antara liga yang boleh mendaftarkan kuota pemain import terbanyak di Asia.

Memetik laporan menerusi berita harian,Pasukan Liga M boleh mendaftarkan sehingga sembilan pemain import dengan tujuh kuota bebas, satu pemain Asia dan satu pemain ASEAN dan satu lagi tambahan import dibenarkan bagi pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ACL2 dan pertandingan kelab ASEAN.

Tambahan satu lagi kuota import kepada enam pemain dalam satu perlawanan bagi musim 2024/25 jelas membuka lebih banyak peluang kepada pemain import untuk beraksi memandangkan sebelum ini hanya lima pemain dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa.

Berdasarkan itu, hanya lima pemain tempatan akan berada dalam kesebelasan utama jika pasukan menurunkan enam pemain import sekali gus menimbulkan kerisauan terhadap minit permainan untuk pemain tempatan bagi musim baharu nanti.

Liga 1 Thailand 2023/24 turut membenarkan maksimum sembilan pemain import didaftarkan termasuk satu dari Asia dan tidak lebih tiga pemain daripada ASEAN.

Kuota setiap perlawanan mereka juga lebih ‘meriah’ iaitu 3+1+3 namun berdasarkan semakan, kebanyakan pasukan tidak menggunakan kuota ini apatah lagi kuota ASEAN memandangkan pemain tempatan mereka memiliki kualiti lebih baik daripada pemain lain di ASEAN.

Malah, kebanyakan pasukan Liga 1 Thailand tidak mendaftarkan sehingga sembilan pemain import meskipun dibenarkan dengan hanya BG Pathum memaksimumkan pendaftaran pemain importnya bagi musim ini.

Bagi Liga 1 Indonesia 2023/24, pasukan boleh mendaftarkan enam pemain import termasuk satu dari ASEAN dan keenam-enam mereka boleh diturunkan dalam perlawanan.

Liga 1 Vietnam 2023/24 lebih ‘ketat’ apabila hanya tiga pemain import boleh didaftarkan dan satu slot untuk pemain Vietnam yang belum dinaturalisasikan namun hanya tiga pemain asing dibenarkan dalam satu-satu perlawanan.

Berdasarkan semakan untuk liga terkemuka di benua Asia, hanya enam pemain import termasuk satu dari Asia dibenarkan di Liga Korea 2024 (Liga K) dengan lima pemain termasuk satu pemain Asia dibenarkan di atas padang.

Liga Iran 2023/24 memiliki peruntukan sama seperti Liga K membabitkan pendaftaran pemain importnya apabila mereka turut membenarkan hanya enam pemain import dan satu kuota itu perlu diisi pemain dengan pemain dari benua Asia.

Bermula musim 2021, tiada had untuk pendaftaran pemain import bagi Liga Jepun (Liga J) namun hanya lima pemain dibenarkan untuk hari perlawanan.

Namun pemain dari rakan kongsi Liga J iaitu Thailand, Vietnam, Maghribi, Malaysia, Kemboja, Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Palestin, Argentina, Australia, Brazil, Tunisia, Mesir dan Qatar tidak dianggap sebagai pemain import.

Bagi Liga A di Australia, mereka boleh mendaftarkan lima pemain asing tidak termasuk pemain tanpa visa.-BH Online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here