DOHA: Jaguh Asia Tenggara, Thailand mengekalkan rekod tanpa kalah selepas seri tanpa jaringan dengan Oman pada perlawanan kedua Kumpulan F Piala Asia 2023 di Stadium Abdullah Bin Khalifa malam tadi.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian, Keputusan itu mencerahkan lagi peluang skuad Gajah Perang untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu menjelang aksi terakhir kumpulan bertemu juara tiga kali, Arab Saudi, Khamis ini.
Thailand, yang dibimbing pengendali dari Jepun, Masatada Ishii ketika ini mengumpul empat mata selepas dua perlawanan. Pada perlawanan pertama minggu lalu, Thailand mengalahkan Kyrgyzstan 2-0.
Gajah Perang terlebih dahulu mengancam kubu lawan menerusi tandukan padu pemain pertahanan Elias Dolah berpunca sepakan penjuru pada minit ke-16.
Namun, percubaan itu berjaya diselamatkan penjaga gol Ibrahim Al Mukhaini untuk pemain tengah Abdullah Fawaz pantas mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya sebelum giliran penyerang Issam Al Sabhi menguji Patiwat Khammai di gawang menerusi rembatan yang tepat ke arahnya pada minit ke-20.
Fawaz kemudian terlepas peluang meletakkan Oman yang dibimbing Branko Ivankovic di depan apabila percubaan kaki kanannya selepas menerima hantaran Harib Al Saadi, melambung tinggi pada minit ke-31 dan kedudukan 0-0 kekal sehingga waktu rehat.
Bersambung babak kedua, Oman, yang tewas 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi pembukaan Selasa lalu, lebih garang dalam usaha memburu kemenangan tetapi Thailand terlebih dahulu membuat percubaan berbahaya menerusi tandukan penyerang muda Supachai Chaided yang sedikit tersasar pada minit ke-55.
Oman yang terdesak terlepas beberapa peluang untuk memecah kebuntuan antaranya rembatan pemain pertahanan Khalid Al Braiki pada minit ke-72 yang tersasar ke sebelah kanang gawang, selain tandukan pemain gantian Omer Al Malki yang tepat ke arah Patiwat pada minit ke-85.
Keputusan seri tanpa jaringan kekal hingga wisel penamat menyaksikan Oman, pasukan ke-74 dunia, meraih mata pertama pada kempen kali ini dan perlu menang ke atas Kyrgyzstan pada aksi terakhir, Khamis ini.
Thailand yang menghuni ranking ke-113 pula perlu mengelak daripada tewas atau sekurang-kurangnya seri berdepan Arab Saudi untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati. – BERNAMA,BH Online-
Imedikel TV






