Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
PASIR MAS: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memantau pengoperasian di semua 595 sekolah menengah dan rendah hari ini berjalan lancar termasuk yang terkesan banjir.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad berkata, tinjauan tersebut dilakukan di beberapa sekolah terjejas banjir terutama di Pasir Mas dan Tumpat.
“JPN memberi fokus sekolah terkesan banjir di daerah Tumpat dan Pasir Mas yang mana pegawai dari JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membuat pemantauan.
“Usaha ini turut melibatkan perkembangan pengoperasian sekolah pada hari ini dan semuanya dapat berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang di sini, hari ini.
Sementara itu, calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Nur Qistina Balkis Mohd Razhar, 20 turut menjadi mangsa banjir Disember lalu mengakui lebih gigih mengulangkaji pelajaran memandangkan masa sebelum ini dihabiskan dengan mengemas rumah kerana terjejas banjir.
Bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Che Sofea Che Faizul, 17 berkata dia berharap banjir gelombang keempat tidak berlaku pada masa peperiksaan berlangsung.
“Saya akan menghadapi SPM bermula 8 Januari dan berakhir Mac nanti, jadi saya berdoa urusuan peperiksaan berjalan dengan baik dan tidak ada banjir berlaku selepas ini.
“Semasa banjir baru-baru ini, kelas persediaan untuk menghadapi SPM dijalankan, tetapi disebabkan banjir, kami terpaksa mendapat bimbingan guru melalui kelas secara atas talian,” katanya.
IMEDIKEL TV





