Home Buletin Semasa ANGKASA PERKENALKAN PROGRAM PADANAN PERNIAGAAN PEMANGKIN KOPERASI SEKOLAH, PERLUAS JARINGAN

ANGKASA PERKENALKAN PROGRAM PADANAN PERNIAGAAN PEMANGKIN KOPERASI SEKOLAH, PERLUAS JARINGAN

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Program padanan perniagaan koperasi sekolah perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk mewujudkan kerjasama perniagaan yang lebih konkrit, bukan sekadar menemukan koperasi dengan penyedia produk dan perkhidmatan.

Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Zaharrudin Alias berkata, pendekatan berkenaan selari dengan semangat gerakan koperasi yang menekankan konsep “koperasi membantu koperasi” dalam usaha memperkukuh jaringan serta mengembangkan peluang perniagaan.

“Program ini memberi peluang kepada koperasi sekolah mengenali pelbagai produk dan perkhidmatan yang berpotensi membantu memperkemas serta mengembangkan aktiviti perniagaan mereka.

“Konsep padanan perniagaan ini membolehkan koperasi sekolah bertemu dengan pihak yang menawarkan produk dan perkhidmatan yang mungkin boleh membantu mereka dalam menjalankan aktiviti koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Padanan Perniagaan Koperasi Sekolah Negeri Kelantan 2026 anjuran Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (COOP KB), di sini hari ini.

Menurutnya, penyedia produk dan perkhidmatan turut mendapat manfaat menerusi peluang memperluas pasaran kepada koperasi sekolah, sekali gus menjadikan program itu platform yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Turut hadir ialah Pengerusi COOP OKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) COOP OKB, Ahmed Tarmize Mohd Yusoff dan Pengerusi ANGKASA Negeri Kelantan,
Wan Mohamad Zain Wan Abdullah.

Zaharrudin berkata, hasil pertemuan berkenaan seharusnya diteruskan dengan tindakan susulan yang lebih jelas termasuk pembelian, pembekalan, kerjasama perniagaan atau perkongsian kepakaran.

“Kita tidak mahu program seperti ini hanya berakhir dengan sesi pertemuan pada hari ini dan saya berharap selepas program ini akan wujud susulan yang lebih konkrit.

“Usaha seumpama itu perlu diteruskan dan diperluaskan kepada lebih banyak koperasi di Kelantan, bukan hanya koperasi sekolah, bagi membuka ruang jaringan perniagaan yang lebih luas,” katanya.

Katanya, program itu diharap menjadi titik permulaan kepada jaringan perniagaan yang lebih kukuh dalam kalangan koperasi di negeri ini, sekali gus membuktikan gerakan koperasi mampu menjadi platform berkesan dalam menjana peluang ekonomi dan memberi manfaat kepada anggotanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here