Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Ibu bapa kini boleh melakukan pengesanan awal masalah perkembangan anak berusia antara sifar hingga enam tahun menerusi E-COMEL, sebuah platform berasaskan web yang dibangunkan hasil kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Platform itu membolehkan ibu bapa membuat penilaian awal terhadap perkembangan anak secara percuma sebelum mendapatkan rujukan dan penilaian klinikal sekiranya terdapat tanda-tanda yang memerlukan perhatian lanjut.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata usia sifar hingga enam tahun adalah tempoh kritikal dalam perkembangan kanak-kanak kerana asas bahasa, komunikasi, emosi, kemahiran sosial, motor dan pembelajaran berkembang dengan pesat pada peringkat berkenaan.
Katanya, ibu bapa tidak seharusnya menunggu sehingga anak memasuki alam persekolahan sebelum mendapatkan bantuan sekiranya terdapat kelainan atau kelewatan perkembangan.

“Lebih awal sesuatu keperluan dikenal pasti, lebih awal bantuan boleh diberikan.
“Jangan takut untuk mengetahui keadaan perkembangan anak. Mengetahui lebih awal membuka ruang untuk kita membantu lebih cepat dan membolehkan anak-anak kita berkembang dan membesar sebagaimana kanak-kanak yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Ibu Bapa Asnaf Terhadap Intervensi Awal Perkembangan Anak (0-6 Tahun), di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini hari ini.
Beliau berkata, pengesanan awal bukan bertujuan melabel atau menghukum kanak-kanak mahupun ibu bapa, sebaliknya bagi mengenal pasti kemungkinan keperluan perkembangan supaya tindakan bersesuaian dapat dilakukan dengan segera.
Katanya, saringan asas juga bukan diagnosis klinikal, sebaliknya langkah awal sebelum kanak-kanak dirujuk kepada pegawai perubatan atau pihak berkepakaran untuk penilaian lanjut.
“Isu perkembangan yang perlu diberi perhatian bukan hanya membabitkan autisme, malah merangkumi gangguan spektrum autisme, ketidakupayaan intelektual, kelewatan perkembangan serta isu perkembangan awal lain,”katanya.
Beliau berkata usaha berkenaan amat penting dalam kalangan keluarga asnaf yang mungkin berdepan kekangan pendapatan, pekerjaan, keperluan asas serta akses kepada maklumat berkaitan perkembangan anak.
“Tidak memadai sekadar kita mengatakan ibu bapa mesti lebih peka. Sebaliknya kita juga perlu memastikan mereka mempunyai akses kepada ilmu, saringan, rujukan dan sokongan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata bantuan kepada golongan asnaf tidak seharusnya terhad kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pendidikan dan usaha pembangunan insan.
Katanya, membantu seorang kanak-kanak mendapatkan intervensi yang sesuai bukan sahaja memberi manfaat kepada individu terbabit, malah membantu keluarga membina masa depan yang lebih baik.
“Apabila kita membantu seorang anak mendapatkan intervensi yang sesuai, kita bukan hanya membantu seorang individu. Kita sebenarnya membantu sebuah keluarga membina masa hadapan yang lebih baik.
“Kita yakin anak-anak keluarga asnaf inilah yang akan membantu keluarga mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pusat Transformasi OKU USM-MAIK menjadi antara tunjang penting dalam memastikan kesedaran mengenai intervensi awal dapat diteruskan kepada tindakan dan sokongan berterusan.
Katanya, MAIK telah membantu membangunkan pusat berkenaan melalui peruntukan Wang Ehsan Negeri Kelantan berjumlah RM1 juta.
Sementara itu, Penyelia Projek MBA, UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB), Profesor Madya Dr Wan Mohd Hirwani Wan Hussain, berkata E-COMEL dibangunkan oleh pelajar MBA UKM-GSB dengan kerjasama USM dan MAIK.

Menurutnya, platform itu memberi tumpuan khusus kepada pengesanan masalah perkembangan kanak-kanak berusia sifar hingga enam tahun. “Ini adalah web-based yang pertama yang dapat mengenal pasti masalah perkembangan dalam kalangan kanak-kanak berusia sifar hingga enam tahun.
“Portal ini dibangunkan oleh pelajar MBA UKM-GSB dengan kerjasama pihak USM dan MAIK sebagai sebahagian daripada penilaian program mereka,” katanya pada sidang media selepas program berkenaan.
Beliau berkata E-COMEL disediakan secara percuma dan membolehkan ibu bapa membuat penilaian awal terhadap anak masing-masing.
Katanya, maklumat yang diperoleh menerusi penilaian berkenaan akan dikumpulkan secara digital dan disimpan dalam sistem awan untuk tujuan penilaian lanjut.
“E-COMEL juga berpotensi diperluaskan untuk digunakan dalam program berkaitan di negeri-negeri lain.
“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun telah mengambil inisiatif untuk membolehkan model ini digunakan di negeri lain,” katanya.
Beliau berkata pembangunan E-COMEL membabitkan kerjasama tiga pihak iaitu MAIK, UKM dan USM, dengan penglibatan pelajar MBA UKM-GSB dalam menghasilkan sistem berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha MAIK merangkap Ketua Pengarah Projek, Muhamad Rasani Ramli, berkata pembangunan E-COMEL tercetus daripada keperluan memperluaskan kempen kesedaran mengenai intervensi awal, khususnya kepada golongan asnaf.
Katanya, golongan asnaf antara kelompok yang mungkin kurang mendapat akses kepada maklumat berkaitan perkembangan dan pemulihan anak.

“Kebimbangan kita apabila mereka mempunyai anak-anak asnaf yang tidak dibuat pemulihan. Apabila melepasi umur enam tahun, proses pemulihan ini menjadi lebih sukar.
“Sebab itulah kita mahu membawa maklumat ini kepada asnaf supaya pemulihan dapat dibuat pada peringkat awal,” katanya.
Beliau berkata intervensi awal juga penting bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mempunyai peluang untuk meningkatkan keupayaan mereka dan seterusnya menjadi individu yang produktif pada masa hadapan.
“Kita tidak mahu mereka menjadi satu liabiliti baharu kepada kerajaan dan negara.
“Dengan intervensi awal ini, kita berharap anak-anak ini dapat dipulihkan dan selain menjadi liabiliti, mereka menjadi satu peluang serta membawa produktiviti kepada negara,” katanya.
IMedikel TV






