Home Sukan MAN CITY BANGKIT BENAM EVERTON

MAN CITY BANGKIT BENAM EVERTON

LONDON: Manchester City bangkit menewaskan Everton 3-1 untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool kepada lima mata.

Skuad kendalian Pep Guardiola, yang baru pulang daripada kejohanan Piala Dunia Kelab, ketinggalan 1-0 di Goodison Park hasil jaringan bekas pemainnya, Jack Harrison.

Bagaimanapun Phil Foden menewaskan Jordan Pickford pada minit ke-53 untuk gol penyamaan dan Julian Alvarez meletakkan City di depan menerusi sepakan penalti (m-64).

Bernardo Silva melengkapkan kebangkitan City yang memburu kejuaraan liga keempat berturut-turut musim ini.City, yang hanya menang sekali dalam enam penampilan terakhir liga, kini kembali ke tangga keempat tetapi bermain kurang satu perlawanan berbanding Liverpool kendalian Jurgen Klopp – yang mengumpul 42 mata.

Naib juara musim lalu, Arsenal, dua mata di belakang Liverpool dan berpeluang merampas semula teraju liga apabila bertemu West Ham awal pagi esok.

“Saya ingatkan mereka setiap hari. Kami mempunyai standard yang perlu dikekalkan. Ia adalah tanggungjawab kami jadi standard itu tidak boleh merosot.

“Mereka sekali lagi membuktikan betapa istimewanya mereka. Kami sedar selepas enam perlawanan dengan hanya satu kemenangan, orang mula bertanya, ia adalah normal kerana keputusan sangat penting, tetapi kami hampir,” kata Guardiola.

City turun ke Goodison Park selepas menjuarai Piala Dunia Kelab di Arab Saudi minggu lalu – trofi kelima mereka sepanjang tahun 2023. – AFP-BH ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here