Oleh: Athirah Azman@I Medikel TV
KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan semakin meningkat dengan jumlah 17,331 daripada 5,514 keluarga berbanding 16,333 mangsa banjir daripada 5,257 keluarga pagi tadi.
Setakat ini, Kelantan merekodkan bilangan pusat pemindahan sementara (PPS) yang semakin berkurang dengan lima daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan Tumpat berbanding tujuh daerah jam 10 pagi tadi.
Menurut infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di daerah Pasir Mas semakin meningkat dengan 15,623 orang berbanding 13,892 orang.
Manakala, di PPS Tanah Merah, mangsa banjir berkurang dengan 331 orang berbanding 1,798 dan di Kuala Krai seramai 1,183 orang berbanding 1,951 orang.
Sementara itu, di PPS Gua Musang, mangsa banjir meningkat kepada 118 orang berbanding 105 orang dan turut dibuka PPS di Tumpat yang merekodkan mangsa banjir seramai 76 orang setakat jam 3 petang ini.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, trend air Sungai Golok di Rantau Panjang menurun dengan paras air 10.56 meter berbanding 10.68 meter pagi tadi, namun masih di paras bahaya.
I Medikel TV






