LONDON: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas Darwin Nunez menamatkan kemarau jaringannya dalam kemenangan 2-0 ke atas Burnley.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Skuad kendalian Jurgen Klopp mendahului permainan di Turf Moor hasil jaringan awal Nunez – gol kelapannya musim ini dan yang pertama dalam 12 perlawanan sejak membolosi gawang Bournemouth ketika aksi Piala Liga pada 1 November.
Diogo Jota, yang kembali beraksi selepas sebulan rehat akibat kecederaan, melengkapkan kemenangan Liverpool untuk memintas Arsenal, yang akan kembali merampas teraju liga jika menang ke atas West Ham esok.
Selepas seri menentang Manchester United dan Arsenal sebelum Krismas, kemenangan berkenaan penting buat Liverpool untuk bersaing merebut kejuaraan musim ini.
Ketika ditanya berkenaan kedudukan di puncak liga, Klopp berkata: “Ia bagus. Ia mungkin akan berubah dan ia bukan satu masalah. Ia tidak sempurna tetapi kami berada di tempat sepatutnya.”
Burnley yang menghuni tangga kedua tercorot dan lima mata di bawah garis selamat, berpeluang mendahului permainan menerusi Zeki Amdouni, tetapi percubaannya tersasar.
Liverpool sebaliknya membuka jaringan pada minit keenam selepas Nunez menyempurnakan umpanan Cody Gakpo.
Pada minit ke-90, penyerang Portugal, Jota memastikan kemenangan menerusi gol ke-50nya untuk Liverpool. – AFP-BH ONLINE-
Imedikel TV






