Home Buletin Semasa LKTN CARI TANAH BARU UNTUK TANAMAN KENAF

LKTN CARI TANAH BARU UNTUK TANAMAN KENAF

Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV

PASIR PUTEH: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) kini dalam usaha mencari tanah baru bagi tanaman kenaf bermula bagi tahun depan.

Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, usaha mencari semula tanah baru bagi menggantikan tanah sedia ada yang berkurangan ini adalah kerana kita memberi laluan kepada tanaman padi bagi memenuhi dasar negara dalam keterjaminan bekalan makanan pasca Covid-19.

“Pada masa ini, untuk tanaman kenaf hanya tinggal 148 hektar sahaja berbanding keluasan asal 600 hektar di Kelantan, manakala di Terengganu pula, hanya tinggal 100 hektar bagi keluasan asal 400 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Sumbangan Tunai Rahmah di Institut Latihan Kenaf dan Tembakau (INSKET) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Wilayah Timur LKTN merangkap Pengarah LKTN Kelantan, Mohd Azemi Sepian serta Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKTN, Mohd Fadzhel Nasir.

Beliau berkata tumpuan menggunakan tanah untuk tanaman kenaf penting untuk penghasilan produk kenaf sebagai makanan ternakan dan proses ‘bio retting’ (rendaman) bagi menghasilkan fiber di bawah industri kenaf bermula tahun hadapan.

Wan Abd Rahim berkata di Kelantan, antara daerah yang terlibat bagi ladang kluster tanaman ternakan untuk bio retting dan kegunaan fiber ialah di Pasir Puteh, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli yang melibatkan pilihan guna sama tanah.

“Pencarian tanah baharu juga melibatkan tanah yang ditanam tanaman komoditi lain seperti kelapa sawit, kelapa matag, getah dan durian.

“Bagi tanaman kenaf, berdasarkan ekosistem di kawasan tanaman, hasilnya juga hanya mengambil masa 35 hingga 40 hari sahaja,” katanya.

Terdahulu seramai 315 pencarum menerima bantuan TKIKT dengan jumlah bantuan sebanyak RM94,500, terdiri daripada penanam kenaf, pengusaha tembakau dan peserta projek kenaf.

Katanya pelbagai inisiatif baru diperkenalkan bagi meningkatkan tanaman dan pengeluaran hasil kenaf bagi menjana ekonomi negara termasuk program ladang klauster, produk bagi industri bahan binaan, industri ‘non-woven’ dan pengilangan Palpa.

I Medikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here