Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan telah menahan kemasukan konsainan buah mangga dari Thailand yang masuk melalui pintu masuk Rantau Panjang, Pasir Mas pada 6 Dis lalu.
Pengarah MAQIS Kelantan Syed Fuad Syed Putra berkata pihaknya mendapati buah mangga itu dikesan mempunyai serangga perosak yang disyaki dari spesies Mango Pulp Weevil (Sternochetus Frigidus).

“Kesemua barang dagangan yang dianggarkan bernilai RM8,640 tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut.
“Penahanan ini bertujuan menghalang dan mengawal kemasukan serangga perosak yang boleh melumpuhkan industri pertanian negara terutama melibatkan industri tanaman mangga tempatan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengimport keluaran pertanian yang dipercayai mempunyai serangga perosak.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“MAQIS sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke Malaysia bagi menjamin setiap keluaran pertanian tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
I Medikel TV






