Home Luar Negara PUMA TAMATKAN TAJAAN UNTUK PASUKAN BOLA SEPAK ISRAEL

PUMA TAMATKAN TAJAAN UNTUK PASUKAN BOLA SEPAK ISRAEL

LONDON: Syarikat pakaian sukan jenama Puma akan berhenti menaja pasukan bola sepak kebangsaan Israel pada 2024.

Bagaimanapun, menurut jurucakap syarikat itu, langkah terbabit sudah dirancang sejak tahun lalu dan tidak berkaitan dengan perang yang berlaku di Gaza, lapor Reuters.

Puma berdepan gesaan boikot menyusuli kerjasamanya dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) dan gesaan itu semakin lantang dilaungkan menyusuli serangan Israel ke atas Gaza dua bulan lalu, yang membunuh lebih 18,000 rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataannya kepada Reuters pada Selasa, Puma turut mendedahkan bahawa kontrak syarikat itu dengan beberapa persekutuan bola sepak, termasuk Serbia dan Israel, akan tamat pada 2024 dan tidak akan diperbaharui.

Jurucakap Puma berkata, ia tidak lama lagi akan mengumumkan perjanjian dengan beberapa persekutuan bola sepak baharu dan menyebutnya sebagai salah satu strategi ‘kecil yang lebih baik’.

Puma menandatangani kontrak dengan IFA untuk menyediakan pakaian dan peralatan sukan kepada pemain pasukan itu sejak 2018, menurut laporan Reuters.

Sejak itu, syarikat berkenaan menghadapi gesaan boikot daripada para aktivis, yang mendakwa IFA merupakan pasukan yang berpangkalan di petempatan Yahudi di Tebing Barat dan ia menyalahi undang-undang antarabangsa. – REUTERS, BH Online –

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here