MANCHESTER, England: Jurgen Klopp berkata, pasukan berwajah baharu Liverpool masih belum mantap tetapi lulus ujian getir apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum seri 1-1 di Manchester City malam tadi.
Anak buah Klopp berada satu mata di belakang juara bertahan di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meranapkan rekod 23 kemenangan berturut-turut City di laman sendiri dalam semua pertandingan.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Liverpool hanya kalah sekali dalam liga sejak kunjungan terakhir ke Etihad pada April lalu berakhir dengan dibelasah lawan 4-1.
Selepas mencabar City bagi kejuaraan utama dalam kebanyakan masa kendalian Klopp di Anfield, Liverpool merudum ke tangga kelima dalam EPL musim lalu.
Namun petanda awal menunjukkan mereka mungkin mampu mencabar kejuaraan sekali lagi sekalipun kedua-dua pasukan gagal memperagakan potensi sebenar sekali gus menyaksikan pertembungan dua pasukan teratas liga itu hambar.
Gol EPL ke-50 Erling Haaland dalam hanya 48 penampilan membantu City mendahului selepas 28 minit.
Anak buah Pep Guardiola kemudian berpeluang untuk menambah jaringan namun terkedu 10 minit sebelum tamat apabila Trent Alexander-Arnold menyamakan kedudukan dengan penyudah mengagumkan.
“Saya fikir kami lulus ujian hari ini, saya tidak pasti sama ada ia satu ujian,” kata Klopp.
“Hari ini kami mempunyai peluang. Saya tidak bodoh, saya menyaksikan perlawanan itu, jika anda bertanya kepada saya ‘siapa yang lebih berkemungkinan memenangi perlawanan itu?’ Jelas sekali ia City, tetapi kami mempunyai detik-detik kami.”
Klopp mengkritik penjadualan perlawanan sebesar itu bagi sepak mula waktu makan tengah hari susulan rehat tugasan antarabangsa.
Tiga daripada pemain dalam kesebelasan utama Liverpool beraksi pada kelayakan Piala Dunia di Amerika Selatan kurang 72 jam sebelum sepak mula.
“Sepuluh hari di negara mereka, kembali semula, sehari turun berlatih bagi persediaan perlawanan paling sukar dalam musim. Saya terpaksa menerima apa yang saya ada dan bekerja daripada situ.” – AFP
-BH ONLINE-
Imedikel TV






