Home Sukan PERANCIS LAKAR REKOD BELASAH GIBRALTAR 14-0

PERANCIS LAKAR REKOD BELASAH GIBRALTAR 14-0

189
0

NICE, Perancis: Perancis mencatat kemenangan terbesar dalam kelayakan Kejohanan Eropah dengan membelasah Gibraltar yang beraksi 10 pemain 14-0 awal pagi tadi ketika Kylian Mbappe meraih hatrik dan Warren Zaire-Emery menyumbat gol pada penampilan sulungnya.

Perancis mengatasi kejayaan Jerman membenam San Marino 13-0 pada tahun 2006 bagi kemenangan terbesar mereka dalam perlawanan bola sepak antarabangsa.Ia juga kali pertama satu pasukan Eropah menjaringkan 14 gol pada kelayakan Piala Dunia atau Kejohanan Eropah.

“Ketika beraksi dengan 11 pemain sudah merumitkan buat mereka, tetapi ia tidak menghalang saya untuk memuji pemain sekalipun kami patut lebih efisien, ia lebih mengenai menghormati lawan dengan menjaringkan gol,” kata pengurus Perancis, Didier Deschamps. “Empat belas tetap bagus.”

Marcus Thuram, Zaire-Emery, Mbappe, Jonathan Clauss, Kingsley Coman dan Youssouf Fofana menyumbat gol pada babak pertama aksi Kumpulan B itu selepas Perancis mendahului menerusi gol sendiri pada minit ketiga.

Perancis sudah memastikan tempat sebagai juara kumpulan dan Deschamps menganugerahkan pemain berusia 17 tahun Zaire-Emery penampilan sulungnya, menjadikannya pemain termuda Perancis sejak tahun 1914.

Pemain remaja itu muncul penjaring gol termuda Perancis sejak tarikh itu dengan gol pada minit ke-16, namun dia dibentes di buku lali oleh Ethan Santos. Pertahanan Gibraltar itu dibuang padang dan penampilan sulung Zaire-Emery hanya seketika.

Dengan Gibraltar beraksi 10 pemain, kemenangan terbesar Perancis, 10-0 ke atas Azerbaijan pada tahun 1995 kelihatan mampu dipecah.

Adrien Rabiot dan gol kedua Coman menjadikannya semakin hampir dan Ousmane Dembele memastikan pendahuluan 10-0 sebelum Mbappe meledak dua gol untuk melengkapkan hatriknya, gol ketiganya satu percubaan jarak jauh yang memukau selepas dia melihat penjaga gol keluar dari kawasannya.

Mbappe mengatasi Antoine Griezmann untuk melonjak ke tangga ketiga dalam senarai penjaring gol terbanyak Perancis sepanjang zaman dengan 46 gol dan dia kini hanya lima gol di belakang catatan Thierry Henry.

Pemain gantian Olivier Giroud, penjaring gol terbanyak Perancis sepanjang zaman, tampil menyumbat dua gol lewat untuk melengkapkan kemenangan besar itu dan mengumpul 56 gol buat negaranya.

Perancis, yang menang semua tujuh perlawanan kumpulan, dilihat mampu mengekalkan rekod sempurna itu apabila mereka bertandang ke Greece awal pagi Rabu ini bagi perlawanan terakhir mereka.

“Kami akan menikmati apa yang kami capai malam ini, kami tidak akan ke Greece dengan bersenang lenang. Ia satu sasaran baharu,” kata Deschamps.”Malam ini satu malam sempurna kecuali kecederaan Warren, tetapi ia bukan satu masalah besar.”

Gibraltar, yang mengalami kekalahan terbesar mereka dan masih belum meledak sebarang gol pada peringkat kelayakan, menamatkan kempen mereka di laman sendiri menentang Belanda yang memastikan kemaraan dengan kemenangan 1-0 ke atas Ireland awal pagi tadi. – REUTERS-BH ONLINE-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here