Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Bahasa melayu sebagai bahasa rasmi negara tidak dapat disangkal kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, ia menjadi suatu kebimbangan bagi pihak kerajaan negeri Kelantan kerana risau akan penurunan bagi penggunaan bahasa kebangsaan itu.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK), Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, sekiranya bahasa melayu tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya, ia akan hilang dari masa ke semasa tanpa disedari oleh orang ramai.
“Penggunaan Bahasa melayu ini sedikit sahaja dalam ucapan, dalam masa sama apabila ingin menaikkan Bahasa inggeris sebagai bahasa kedua, Bahasa Melayu diketepikan.
“Bahasa Inggeris mengatasi Bahasa Melayu sehingga ke hari ini, anak-anak yang bijak dalam Pelajaran, mereka lebih menggunakan Bahasa Inggeris dalam percakapan, jadi kita bimbang prestasi penggunaan Bahasa melayu semakin menurun,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Semarak Bahasa, di Mydin Mall Tunjong, di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, Bahasa melayu mempunyai keunikannya tersendiri kerana ia tidak dimiliki oleh negara lain malah berbeza dengan Bahasa Spanish dan lain-lain.
Jelas beliau, pencapaian untuk memartabatkan bahasa kebangsaan perlu selari dengan usaha yang dilaksanakan oleh pihak yang berwajib.
“Dalam sistem pendidikan, anak-anak perlu ditekankan terhadap penggunaan bahasa melayu ketika mereka di peringkat sekolah rendah lagi.
“Tambahan pula, kita perlu mengkaji tempoh masa yang sesuai untuk berbincang berkaitan bahasa kerana bukan senang untuk berfikir namun perlu bersama-sama demi masa depan negara,” katanya.
Menurutnya, lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ perlu dihidupkan dikembali terutamanya pada peringkat sekolah agar anak-anak dapat mengambail peluang dalam mengenali dan menghayati lirik lagu yang penuh makna itu.
I Medikel TV






