Home Sukan ITALI CERAH PELUANG KE EURO 2024

ITALI CERAH PELUANG KE EURO 2024

146
0

ROME: Federico Chiesa meledak dua gol membantu Itali menang 5-2 ke atas Macedonia Utara pada aksi kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi, memberikan mereka kelebihan menjelang aksi penentuan dengan Ukraine Isnin ini bagi menempah tiket ke pusingan akhir.

Kemenangan dalam Kumpulan C itu bermakna Itali hanya perlukan seri menentang Ukraine bagi memastikan tangga kedua dalam kumpulan itu di samping England yang sudah layak ke pusingan akhir tahun depan di Jerman.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Itali berdepan kesukaran dalam sejarah mereka menentang Macedonia Utara, kalah 1-0 di laman sendiri pada kelayakan Piala Dunia 2022 dan kemudian seri 1-1 pada aksi kelayakan Euro dalam perlawanan sulung kendalian Luciano Spalletti sebagai jurulatih Azzurri September lalu.

“Dengan kualiti kami, lambat laun kami boleh menjaringkan gol, namun kami berdepan bahaya beberapa serangan balas pada babak kedua yang tidak kami hadapi pada separuh masa pertama,” kata Spalletti kepada RAI Sport.
Pemain tengah Itali, Giacomo Raspadori (kiri) bersaing dengan pertahanan Macedonia Utara, Visar Musliu ketika aksi kelayakan Euro 2024 di Stadio Olimpico, Rome awal pagi tadi. – Foto AFP

Itali memecah kebuntuan selepas 17 minit apabila Matteo Darmian yang tidak dikawal menanduk masuk susulan sepakan sudut.

Selepas 40 minit, Itali berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan daripada sepakan penalti selepas Nikola Serafimov dipersalahkan kerana memegang bola namun percubaan Jorginho diselamatkan penjaga gol Stole Dimitrievski.

Chiesa bagaimanapun menggandakan kedudukan empat minit sebelum rehat menerusi satu sepakan lencong dari penjuru kotak penalti.

Pada masa kecederaan babak pertama, Itali mendapat gol ketiga apabila Chiesa menerima satu lorongan bola dalam kotak penalti, mengatasi seorang pertahanan dan menyumbat masuk menerusi percubaan yang terbias.

Macedonia Utara kembali merapatkan kedudukan selepas 52 minit apabila Jani Atanasov menanduk masuk hantaran silang dari jarak dekat sebelum menyumbat gol keduanya menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-74.

“Gol kedua tertampan oleh pemain pertahanan kami, ia biasa, jadi ia mengubah aspek psikologi perlawanan itu,” kata Spalletti.

“Pada saat itu, saya fikir kami menyaksikan persembahan terbaik Itali dari segi karakter dan kualiti ketika kami menunjukkan kekuatan untuk terus menyerang dan meraih kemenangan dengan dua gol lagi.”

Giacomo Raspadori menghancurkan harapan pelawat sembilan minit sebelum tamat dengan gol dari satu sudut sukar dalam kotak penalti manakala Stephan El Shaarawy menambah gol kelima Itali pada masa kecederaan. – AFP-BH ONLINE-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here