SAN FRANCISCO: Beratus-ratus penunjuk perasaan terutama kumpulan antikapitalis dan pro-Palestin berkumpul di San Francisco pada Ahad, menjelang Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), esok.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, mereka berarak melalui jalan utama di bandar Amerika Syarikat itu mendesak pemimpin APEC mendahulukan kepentingan manusia dan bumi mengatasi keuntungan perniagaan.
“APEC ialah kerajaan penjajah neoliberal dalam bentuk baru.
“Kami berkumpul untuk memastikan mereka lebih mementingkan manusia dan bumi dalam setiap isu yang dibincang.
“Mereka mendakwa merangka rundingan untuk membina ekonomi hijau, tetapi yang berlaku sebenarnya ialah eksploitasi sumber yang penting dan bernilai demi mengaut keuntungan bagi ketua pegawai eksekutif korporat di AS,” kata Nik Evasco.
Presiden AS, Joe Biden menjadi tuan rumah kepada 20 anggota APEC iaitu pertubuhan perdagangan minggu ini, tetapi tumpuan dijangka berkaitan isu perang Palestin-Israel.
Bantahan itu turut disertai beberapa penunjuk perasaan pro-Palestin, menggesa untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.
“Saya hadir untuk membantah dan bersolidariti dengan rakyat Palestin yang dijajah selama 75 tahun, pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.
“Ini (konflik di Gaza) benar-benar pembunuhan beramai-ramai dan kami di AS yang membiayainya. Ini sangat salah,” kata Eleonore Collet, 28. – AFP, BH Online –
IMEDIKEL TV






