GAZA: Dua hospital terbesar di sini yang merawat beribu-ribu mangsa sejak lima minggu lalu sudah tidak boleh beroperasi.
Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan Hospital Al-Shifa dan Hospital Al-Quds terhenti operasi sepenuhnya.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata lebih ramai pesakit termasuk bayi pramatang akan meninggal dunia kerana kemudahan itu tidak mempunyai bekalan elektrik mengakibatkan peralatan perubatan tidak lagi berfungsi.
Beliau berkata, keadaan tegang di dua kemudahan itu membahayakan nyawa ramai pesakit.
Al Jazeera melaporkan, WHO dapat berhubung semula dengan petugasnya di di Hospital Al-Shifa, namun kemudahan itu tidak lagi berfungsi sebagai hospital.
Dr Adhanom berkata, sejak tiga hari lalu, kemudahan itu kekurangan bekalan elektrik dan air serta capaian internet yang lemah, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan penting.
“Malangnya, hospital terbabit tidak dapat berfungsi sebagai sebuah hospital lagi.
“Dunia sepatutnya tidak boleh berdiam diri di saat hospital yang sepatutnya menjadi tempat selamat, berubah menjadi tempat kematian dan kemusnahan.
“Jumlah kematian pesakit meningkat dengan ketara,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Dr Adhanom di platform X.
Beliau mengulangi gesaan gencatan senjata di Palestin.
Ribuan pelarian dan petugas masih terperangkap di dalam hospital yang dikepung oleh tentera Israel dan mereka tiada bekalan elekrik, air mahupun makanan.
Tiada bantuan diterima petugas hospital, manakala penembak tepat Israel terus menembak sesiapa sahaja berhampiran Hospital Al-Shifa.
Angka kematian akibat serangan Israel sejak 7 Oktober kini melebihi 11,100, termasuk lebih 8,000 wanita dan kanak-kanak, menurut pejabat media kerajaan di Gaza pada Ahad. – AGENSI, BH Online –
IMEDIKEL TV






